Friday, July 1, 2011

Sorok barang tiruan dalam banglo




MOHD BASHA ABIDIN (kiri) bersama pegawai penguat kuasa memeriksa pelbagai beg tangan wanita berjenama yang didapati tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Salleh.


MUAR: Sebuah banglo di taman perumahan dekat Jalan Salleh di sini, dikesan menjadi stor transit beribu-ribu barangan tiruan bernilai lebih RM100,000 untuk diedarkan pasaran seluruh Johor dan sebahagian Pahang.

Kegiatan di banglo milik sebuah keluarga yang dipercayai beroperasi sejak kira-kira setahun lalu itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Muar diketuai Pegawai Penguat kuasa, Wan Asrol Wan Mahmud dan 10 anggota, kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Dalam serbuan itu penguat kuasa KPDNKK menemui pelbagai jenis barangan tiruan termasuk beg silang, beg pakaian, beg sandang, beg tangan, beg sekolah, beg duit dan topi menggunakan pelbagai jenama terkenal termasuk Levi's, Nike, Adidas, Diadora, Polo, Lotto, Luis Vitton, Manchester United, Chelsea dan Liverpool.

Ketua Cawangan PPDNKK Muar, Mohd Basha Abidin Ali, berkata susulan serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 70-an dan tiga wanita berusia antara 20-an hingga 30-an yang mempunyai hubungan keluarga dan dipercayai bekerja menguruskan barangan di banglo berkenaan.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan pemilik banglo berkenaan dan dua lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyimpanan serta pengedaran barangan tiruan.

“Kumpulan itu dipercayai turut bertindak sebagai pengimport barangan tiruan dengan menjadikan banglo itu sebagai stor transit sebelum diedarkan kepada peniaga lain termasuk peniaga pasar malam sekitar Johor dan Pahang," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu turut membuat penghantaran terus kepada pembeli melalui perkhidmatan pos, selain ada juga pembeli yang datang sendiri ke banglo berkenaan untuk mendapatkan bekalan.

Mohd Basha Abidin berkata, kes itu adalah hasil daripada intipan kira-kira dua bulan sempena operasi Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) yang dijalankan pasukannya di sekitar Muar.

Berita Harian
1 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment