REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Thursday, November 24, 2011

Terpaksa ulang-alik ke hospital

MUAR – “Setiap saat saya tidak pernah lupa menitipkan doa buat Mohd Raiyan dan berharap dia segera sembuh,” demikian luahan seorang ibu, Harnawati Esa, 34.

Harnawati berkata, luluh hatinya dan suami, Mohd Az­mi Johan, 40, apabila menge­tahui anak yang dilahirkan sempurna sebenarnya menghidap penyakit kronik.

“Hasil pemeriksaan perubatan mendapati Mohd Rai­yan menghidapi penyakit paru-paru kronik seawal usia dua hari dilahirkan.

“Ketika itu, saya merasakan dunia seakan menjadi gelap dan sedih melihat penderitaan yang terpaksa di­­hadapi Mohd Raiyan,” katanya.

Menurutnya, penyakit itu disedarinya selepas mendapati seperti ada yang tidak kena dengan anaknya kerana dia enggan minum susu badan yang diberikannya semasa berada di Hospital Pakar Sul­tanah Fatimah (HPSF).

“Hasil pemeriksaan mendapati paru-paru Mohd Rai­yan dijangkiti kuman dan dia terpaksa ditahan di wad selama empat minggu," katanya.

Harnawati berkata, sepanjang berada di hospital keadaan Mohd Raiyan, lapan bulan tidak stabil dan jangkitan kuman di paru-parunya tidak berku­rangan sehingga memaksa dia dipindahkan ke Pusat Pe­ru­batan Universiti Malaya (PPUM) dan dimasukkan dalam wad Neonatal Intensive Care Unit (NICU)-peads 1.

“Sepanjang lima bulan Mo­hd Raiyan dirawat di PPUM, suami banyak membantu dengan menjaga tiga anak yang lain.

“Hanya ALLAH saja yang tahu perasaan saya ketika itu, saya terpaksa berpisah selama lima bulan dengan anak-anak yang dijaga sepenuhnya oleh suami,” katanya.

Katanya, selain berpenyakit paru-paru kronik, Mohd Raiyan turut menghadapi masalah perut pramatang yang perlu bergantung sepenuhnya dengan susu badan.

“Keperluan ini untuk memastikan daya tahan badan Mohd Raiyan meningkat dan berat badannya bertambah,” katanya.

Difahamkan, Mohd Rai­yan juga memerlukan ubat Palivizumb untuk mencegah jangkitan kuman di paru-paru yang berharga RM3,260. Namun disebabkan harga yang terlalu mahal, Harnawati tidak berkemampuan membeli ubat tersebut.

Menurutnya, kini selepas pembedahan, tahap kesihatan Mohd Raiyan semakin baik dan dia dibenarkan pulang ke rumah dengan pemantauan rapi dan dilengkapi dengan peralatan me­­sin oksigen serta mesin menyedut kahak berikutan keadaan kesihatannya yang sering tidak menentu.

“Saya menjaganya tidak ubah seperti seorang jururawat, setiap hari perlu memasukkan tiub susu dalam mulutnya dan beri ubat jika dia mengalami kesukaran membuang air besar.

“Yang menyedihkan, dia hanya berpeluang berada di rumah selama dua minggu kerana berlaku komplikasi dan men­­­dorong saya menghantarnya semula ke HPSF.,” katanya.

Harnawati berkata, penyakit yang dihidapi Mohd Raiyan itu menjadikannya seorang ibu yang tabah dan tidak pernah mengeluh dengan dugaan menimpanya.

“Saya rela berkorban asalkan penyakit yang dihidapi Mohd Raiyan sembuh dan dia sihat seperti bayi lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Datuk Mohd Ismail Mohd Shah baru-baru ini tampil mem­beri sumbangan daripada kerajaan Johor sekali gus meringankan beban ditanggung Harnawati bagi membiayai kos rawatan anaknya.

Difahamkan, Harnawati juga sudah mengemukakan permohonan bantuan perubatan daripada pihak berkaitan ba­gi pembiayaan ubat Pa­li­vi­zumb anaknya dan dia berharap supaya permohonan tersebut berjaya.

Sinar Harian
24 Nov 2011

Sunday, November 20, 2011

Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah meninggal dunia

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Muar, Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini awal pagi ini.

Allahyarham yang berusia 64 tahun meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi akibat jangkitan paru-paru.

Jenazah Kadar Shah selamat dikebumikan kira-kira pukul 3.30 petang bersebelah pusara bapanya, Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah di Tanah Perkuburan Islam Batu Enam, Bakri, Muar, Johor.

Ahli keluarga dan sahabat-handai menghadiri majlis pengkebumian tersebut termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim; Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Allahyarham dikenali menerusi penglibatannya dalam bidang perniagaan dan politik termasuk menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Muar dan Ketua UMNO Cawangan Bandar Muar A.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, kehilangan Allahyarham pasti akan dirasai memandangkan beliau banyak memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik.

Utusan
19 Nov 2011

Guru lempar wang

PAGOH: “Saya terkejut kerana guru besar sanggup melemparkan wang RM26 di depan kami dan melayan seperti pengemis, sedangkan kami ke sekolah kerana mahu menuntut hak anak mendapat RM100 seperti mana diterima pelajar lain,” kata Azman Salleh, 38, bapa seorang murid yang kecewa wang pemberian kerajaan kepada anaknya dipotong tanpa alasan munasabah.

Menurut Azman, anaknya, Ainul Akmal, 8, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.

Potongan itu memeranjatkan Azman dan isteri, Norizan Mohd Mustafa, 38, kerana apa diketahui mereka, tiada sebarang hutang buku yang masih belum dilunaskan.

Azman berkata, Selasa lalu dia pergi ke sekolah untuk mengambil wang seperti diarahkan tetapi terkejut apabila hanya menerima separuh daripada jumlah asal.

Katanya, dia ada bertanyakan guru mengenai hutang dimaksudkan tetapi tidak mendapat jawapan meyakinkan. “Pengurusan sekolah memaklumkan hutang buku rampaian Ainul tahun ini belum dijelaskan sedangkan saya dan isteri sudah membayarnya.

“Lebih pelik, anak saya juga tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan sehingga tamat persekolahan tahun duanya.

“Jika benar kami masih mempunyai hutang, mengapa pengurusan sekolah tidak mengeluarkan sebarang surat untuk memaklumkan perkara itu sebelum ini?” katanya.

Tidak puas dengan penjelasan itu, Azman berkata, dia sekali lagi pergi ke sekolah berkenaan, semalam, namun kecewa apabila guru besar melayannya seperti pengemis selain mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka sekeluarga.

Katanya, kejadian berlaku di pejabat itu turut disaksikan isteri, kerani dan kakitangan sekolah berkenaan.

“Saya meminta secara elok baki duit anak kerana Ainul tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan.

“Namun, guru besar itu tiba-tiba melenting dan mengeluarkan duitnya sendiri sebanyak RM26 sebelum melemparkannya kepada kami.

“Saya begitu terkejut dengan tindakannya itu. Inikah sikap seorang guru yang selama ini diagungkan sebagai pendidik bangsa?” katanya yang membuat laporan polis pada hari sama.

myMetro
20 Nov 2011

Tuesday, November 15, 2011

Kereta Mercedes hilang ditemui

MUAR – Kereta Mercedes milik seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 15 Oktober lalu akhirnya ditemui semula ditinggalkan di tepi jalan di Jalan Arab di sini.

Kereta tersebut ditemui oleh orang ramai kira-kira jam 10 malam pada Sabtu lalu dipercayai ditinggalkan oleh dua pemuda di tepi jalan kerana kehabisan minyak sebelum mereka bertindak menghilangkan diri.

Lebih mengejutkan apabila kereta itu turut menggunakan nombor pendaftaran palsu berbeza di bahagian hadapan dan juga belakang kenderaan, hingga mencurigakan orang ramai yang segera menghubungi polis, sebelum anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar tiba di tempat kejadian.

Terdahulu, kejadian pada 15 Oktober lalu, seorang pengusaha restoran kehilangan kereta Mercedes miliknya selepas insiden keretanya dilanggar dari arah belakang.

Dalam kejadian itu, wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Gwee, 38, baru selesai membeli-belah di sebuah pasar raya di Pesta, Bakri.

Menurutnya, sedang dia mengundurkan keretanya dari pasar raya itu, tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki dua pemuda merempuh belakang keretanya.

“Berlaku sedikit pertengkaran dengan pemuda itu. Mereka rampas kunci saya lalu bawa lari kereta.

“Kereta mereka ditinggalkan di lokasi kejadian dan siasatan polis mendapati ia adalah kereta curi,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Gee membuat laporan di balai polis berhampiran iaitu beberapa jam selepas insiden berlaku.

Gee berkata, kira-kira tiga jam sebelum keretanya ditemui dia terlihat seorang lelaki dan perempuan menaiki kereta itu di Jalan Bakariah dan Tanjung Agas.

“Pada mulanya saya ingat kereta itu milik saya, tetapi setelah diamati nombor pendaftarannya berbeza.

“Tidak lama kemudian, saya terima panggilan daripada polis memaklumkan kereta telah ditemui di Jalan Arab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan kereta yang ditemui di Jalan Arab itu adalah kereta milik wanita yang hilang pada 15 Oktober lalu.

“Anggota polis telah mengenal pasti identiti suspek dan gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Sinar harian
15 Nov 2011

Thursday, November 10, 2011

Pemandu treler nyaris maut

MUAR - Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan dan terbalik dalam satu kemalangan di Kampung Teluk Kemang, Sungai Terap di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pemandu treler berkenaan mengalami kecederaan di dahi akibat terkena besi yang ada dalam kenderaan berkenaan.

Treler seberat 30 tan yang sarat dengan muatan kayu itu dipercayai dalam perjalanan ke kawasan perindustrian di Bukit Bakri, Bakri di sini.

Pemandu treler terbabit dipercayai tersilap jalan menyebabkannya memasuki kawasan kampung berkenaan.

Namun, kerana laluan jalan kampung berkenaan yang sempit menyebabkan treler yang sarat dengan muatan kayu itu hilang kawalan lalu terbabas.

Keadaan itu menyebabkan muatan kayu yang dibawa bertaburan di kawasan rumah salah seorang penduduk.

Lebih mengejutkan apabila treler itu terbalik berhampiran dengan rumah penduduk iaitu hanya pada jarak 15 meter.

Penduduk kampung, Ali A Samad, 55, berkata, penduduk kampung menyedari kejadian itu selepas dikejutkan dengan satu bunyi yang kuat seakan letupan di kampung mereka.

Menurutnya, dia segera meluru ke luar rumah untuk mengenal pasti bunyi berkenaan.

“Saya terkejut apabila melihat sebuah treler yang sarat dengan muatan kayu terbalik kira-kira 50 meter dari rumah saya.

“Saya terus ke arah treler itu dan melihat pemandunya sedang terbaring di luar treler dengan keadaan muka berdarah,” katanya.

Ali berkata, dia segera membantu menyelamatkan pemandu itu kerana bimbang dengan keselamatannya apabila minyak diesel treler berkenaan mulai tumpah.

Menurutnya, dia segera menghubungi ambulans untuk menghantar pemandu treler itu mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

“Mujur treler ini tidak merempuh rumah penduduk berhampiran.

“Saya tidak pasti bagaimana treler ini boleh tersesat di sini dan kejadian seumpama ini julung kali berlaku di kampung ini,” katanya.

Sinar Harian
10 Nov 2011

Tuesday, November 8, 2011

Lelaki maut rempuh bas

MUAR - Sambutan Aidiladha bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Bukit Pasir pada jam 6.40 pagi di sini, kelmarin.

Mangsa, Hishamuddin Mahmood, 46, dari Kampung Sungai Raya Bukit Pasir, di sini, menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke kilang di Jorak, Bukit Pasir.

Namun, setibanya di tempat kejadian, dipercayai motosikal mangsa cuba membelok ke kanan jalan tetapi merempuh sebuah bas dari arah bertentangan.

Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh dan tercampak sejauh empat meter dari lokasi kejadian.

Mangsa mati serta merta kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan yang lain.

Bagaimanapun, pemandu bas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
8 Nov 2011

Tolong jemur baju saya

MUAR: “Ibu, tolong jemurkan pakaian saya pagi esok jika saya tidak sempat.” Itu permintaan terakhir Syahidbullah Jabbar, 18, kepada ibunya sebelum dia meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Salleh di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, Syahidbullah yang berasal dari Kampung Temiang, menunggang motosikal jenis Yamaha bersendirian kerana mahu bertemu dengan rakannya.

Motosikal ditunggangnya cuba mengelak lori dari arah bertentangan menyebabkannya hilang kawalan sebelum terjatuh.

Ibunya, Salmah Kader, 58, berkata, dia tidak menyangka sikap ringan tulang Syahidbullah menjadi petanda anaknya akan pergi buat selamanya.

“Syahidbullah yang juga anak bongsu sempat memberi makanan kepada kucing peliharaannya pada hari kejadian.

“Menurut saksi, Syahidbullah cuba bangun selepas terjatuh, tetapi sebuah Perodua Kancil yang melalui jalan berkenaan tidak sempat mengelak lalu merempuh anak,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, jenazah mangsa di bawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

myMetro
4 Nov 2011

Tuesday, November 1, 2011

PGM rampas mercun, bunga api

NORDIN Osman (kiri) memeriksa rampasan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas di Kampung Raja, Pagoh pada sidang media di Muar, semalam.

MUAR 31 Okt. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2 merampas mercun, bunga api serta minuman keras yang dianggarkan bernilai RM30,000 selepas menyerbu sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit di Kampung Raja, Pagoh di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam serbuan pukul 12 tengah hari yang disertai oleh seorang pegawai dan empat anggota itu, pondok berkenaan tidak berpenghuni.

Pegawai Memerintahnya, Asisten Supritendan Nordin Osman berkata, pemeriksaan di pondok itu menemui pelbagai jenis mercun, bunga api dan minuman keras dipercayai dibawa masuk ke negara ini tanpa cukai kastam.

"Serbuan yang diketuai oleh Inspektor Mohd. Naser Marzuke itu menemui 358 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis serta 25 kotak minuman keras dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000 tidak termasuk cukai," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua barangan itu dipercayai diseludup untuk simpanan bagi kegunaan musim perayaan Tahun Baru Cina awal tahun depan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 bagi mercun serta bunga api yang dirampas dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 terhadap kesemua barangan itu kerana disyaki belum lulus kastam.

"Pihak kami akan menyiasat bagi mengenal pasti pemilik ladang berkenaan dan mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini," katanya.

Utusan
1 Nov 2011