Tuesday, November 15, 2011

Kereta Mercedes hilang ditemui

MUAR – Kereta Mercedes milik seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 15 Oktober lalu akhirnya ditemui semula ditinggalkan di tepi jalan di Jalan Arab di sini.

Kereta tersebut ditemui oleh orang ramai kira-kira jam 10 malam pada Sabtu lalu dipercayai ditinggalkan oleh dua pemuda di tepi jalan kerana kehabisan minyak sebelum mereka bertindak menghilangkan diri.

Lebih mengejutkan apabila kereta itu turut menggunakan nombor pendaftaran palsu berbeza di bahagian hadapan dan juga belakang kenderaan, hingga mencurigakan orang ramai yang segera menghubungi polis, sebelum anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar tiba di tempat kejadian.

Terdahulu, kejadian pada 15 Oktober lalu, seorang pengusaha restoran kehilangan kereta Mercedes miliknya selepas insiden keretanya dilanggar dari arah belakang.

Dalam kejadian itu, wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Gwee, 38, baru selesai membeli-belah di sebuah pasar raya di Pesta, Bakri.

Menurutnya, sedang dia mengundurkan keretanya dari pasar raya itu, tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki dua pemuda merempuh belakang keretanya.

“Berlaku sedikit pertengkaran dengan pemuda itu. Mereka rampas kunci saya lalu bawa lari kereta.

“Kereta mereka ditinggalkan di lokasi kejadian dan siasatan polis mendapati ia adalah kereta curi,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Gee membuat laporan di balai polis berhampiran iaitu beberapa jam selepas insiden berlaku.

Gee berkata, kira-kira tiga jam sebelum keretanya ditemui dia terlihat seorang lelaki dan perempuan menaiki kereta itu di Jalan Bakariah dan Tanjung Agas.

“Pada mulanya saya ingat kereta itu milik saya, tetapi setelah diamati nombor pendaftarannya berbeza.

“Tidak lama kemudian, saya terima panggilan daripada polis memaklumkan kereta telah ditemui di Jalan Arab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan kereta yang ditemui di Jalan Arab itu adalah kereta milik wanita yang hilang pada 15 Oktober lalu.

“Anggota polis telah mengenal pasti identiti suspek dan gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Sinar harian
15 Nov 2011

0 comments:

Post a Comment