Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bakir, Dr Rahayu Othman memeriksa Ahmad Rosli di rumahnya di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, Bakri, semalam.
MUAR - Seorang bekas pemandu treler mengharapkan keajaiban malam Lailatul Qadar setiap Ramadan untuk kembali pulih selepas 13 tahun terlantar akibat kemalangan.
Mangsa, Ahmad Rosli Mohd Amran, 42, berkata, dia tidak pernah jemu terus berdoa bagi menikmati peluang kedua itu walaupun sedar peluangnya amat tipis.
Menceritakan kejadian malang yang mengubah seluruh kehidupannya itu, Ahmad Rosli berkata, dia sekadar mengingati terlelap semasa memandu treler yang ketika itu dalam perjalanan dari Skudai ke Batu Pahat untuk menghantar barang.
“Apabila sedar, saya sudah di Hospital Melaka dengan keseluruhan anggota tiada rasa kecuali muka.
“Saya langsung tidak tahu bagaimana kemalangan itu boleh berlaku yang akibatnya saya keretakan tulang belakang dan urat saraf putus membuatkan lumpuh seumur hidup,” katanya di rumahnya di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, Bakri di sini, semalam.
Menurutnya, pada mulanya dia amat kecewa dan tidak dapat menerima hakikat dirinya lumpuh tetapi akhirnya memperoleh kekuatan melenyapkan perasaan itu.
Ahmad Rosli berkata, dia diuruskan sepenuhnya oleh bapanya yang kini sudah berusia 78 tahun dan ini membuatkan dia risau kerana pada usianya (bapa) yang lanjut tetapi terpaksa menyusahkan insan itu.
“Selain bapa, saya juga menumpang ihsan seorang abang kerana ibu sudah lama meninggal dunia,” katanya.
Dia yang belum mendirikan rumah tangga berkata, dia kini bergantung dengan pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,100 sebulan, digunakan untuk membeli keperluan seperti lampin pakai buang.
Katanya, dia amat terharu apabila masyarakat dan pemimpin setempat begitu prihatin dengan keadaan dirinya yang membantu menghulurkan banyak bantuan.
“Dengan pertolongan mereka membolehkan saya menerima katil khas daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) dan bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Keprihatinan ini telah banyak membantu saya menghilangkan perasaan sedih, kecewa dan hanya ALLAH tempat saya mengadu,” katanya.
Sinar Harian
22 Jul 2014
0 comments:
Post a Comment