Azman (dua, kanan) menunjukkan lakaran wajah suspek yang terlibat kes penipuan warga emas membabitkan kerugian RM60,000.
MUAR - Seorang warga emas mengalami kerugian berjumlah RM60,000 akibat diperdayakan seorang bomoh dan dua wanita warganegara China yang kononnya boleh membuang bala dalam satu kejadian, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisoner Azman Ayob berkata, kerugian itu membabitkan wang tunai berjumlah RM35,000 dan barang kemas bernilai RM25,000, yang diserahkan kepada bomoh terbabit bagi tujuan membuang bala.
Menurutnya, tetapi malangnya barangan tersebut yang dibungkus dalam surat khabar seperti yang diarahkan bomoh untuk upacara tersebut telah bertukar menjadi satu botol minuman air mineral dan dua biji batu.
“Mangsa menyedarinya ketika membuka bungkusan itu yang hanya dibenarkan dibuka selepas upacara tersebut.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis setelah menyedari dirinya telah ditipu dan bekerjasama dengan polis membuat pengecaman wajah suspek menerusi rakaman CCTV dan lakaran fotofit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.
Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, wanita berusia 60 tahun menunggang motosikal bersendirian di Jalan Ali.
Azman berkata, mangsa didatangi seorang wanita tidak dikenali yang menawarkan sejenis ubat jenis herba kerana mendakwa mangsa kurang sihat dan ada hantu perempuan mengekorinya (mangsa).
“Kemudian, datang seorang lagi wanita juga tidak dikenali memberitahu akan memperkenalkan mangsa kepada seorang bomoh untuk bantu buang bala,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek memimpin tangan mangsa ke warung di seberang jalan untuk berjumpa dengan seorang lelaki iaitu bomoh dan mengatakan salah seorang daripada lima anak mangsa telah diganggu hantu dan terdapat hantu perempuan pada badan mangsa.
Katanya, bagi tujuan perubatan tersebut mangsa disuruh pulang ke rumah untuk mengambil wang tunai dan barang kemas sebelum lesap di tangan suspek.
Tambahnya, orang ramai yang ada maklumat berkaitan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat IPD Muar, Inspektor Haffisz Pirzada, di talian 019-7717494.
Sinar Harian
29 Mei 2015
0 comments:
Post a Comment