Saturday, May 30, 2015

Tergamak bawa lori bapa mencuri

Azman menunjukkan lori berserta barangan yang dirampas dalam kejadian pecah rumah di Jalan Ismail.

MUAR - Seorang anak tergamak menggunakan lori milik bapanya untuk mengangkut hasil kegiatan pecah rumah di Jalan Ismail, di sini, yang dilakukan bersama seorang rakan.

Namun ia tidak berpanjangan apabila mereka tertangkap melakukan kegiatan itu oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dua suspek tersebut diberkas kira-kira jam 2 pagi 20 Mei lalu di rumah suspek di bandar ini, yang dikesan menerusi alamat pada lori ditinggalkan di hadapan rumah mangsa.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang peniaga pasar awam berusia 42 tahun yang menyatakan rumahnya dipecah masuk setelah mendapati banyak barang dalam rumahnya hilang sejak dua minggu lalu.

“Rumah itu merupakan kediaman persinggahan keluarga mangsa dan jarang digunakan. Pada hari kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke kedai makan di Jalan Bakariah terserempak dengan suspek di hadapan rumahnya bersama sebuah lori.

“Mangsa cuba mengejar suspek tetapi gagal kerana suspek melarikan diri namun meninggalkan lori satu tan yang sarat dengan muatan barang di hadapan rumah mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam lori tersebut menemukan dua peti sejuk, satu penghawa dingin, satu singki, sebuah mesin jahit, dua mesin pencetak, sebuah pemanas air dan sebuah rak besi, dipercayai milik mangsa.

Tambahnya, jumlah kerugian ditanggung mangsa dianggarkan RM13,000.

“Lori yang digunakan dalam kejadian berkenaan merupakan milik bapa kepada seorang suspek, malah kita berjaya menjejaki suspek berdasarkan alamat pada lori tersebut.

“Suspek berusia 19 dan 20 tahun ini didapati positif dadah jenis syabu berdasarkan ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka,” katanya.

Azman berkata, hasil siasatan lanjut ke atas suspek juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 14 tahun dan denda.

Sinar Harian
30 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment