Monday, June 1, 2015

Polis berjaya tahan 472 warga asing

MUAR - Polis berjaya menahan seramai 472  warga asing di daerah ini dari pelbagai negara menerusi 36 operasi yang dilakukan pada 1 Januari hingga 27 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, daripada jumlah tersebut ia  melibatkan 255  lelaki dan 217 wanita dalam operasi bersepadu yang dilakukan di sekitar daerah ini dengan 1475 pemeriksaan.

“Kesemua warga asing terbabit  daripada negara China, Indonesia, Myanmar, Thailand, Vietnam, India dan Nepal.

“Warga asing paling ramai ditahan dari Indonesia iaitu 137 orang diikuti Thailand (123 orang), Vietnam (79 orang), Myanmar (52 orang), China (19 orang), Nepal (lapan orang) dan India (empat orang),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini semalam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dipercayai melakukan beberapa kesalahan seperti ketiadaan pas dan permit yang sah, tinggal melebihi tempoh masa pas dan kesalahan menyalahgunakan  pas lawatan sosial.

Katanya, mereka disiasat di bawah Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Inigresen 1959/63.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihaknya turut menahan 67 warga asing wanita dalam Ops Noda bagi tempoh yang sama kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral iaitu  pelacuran.

Katanya, ia terdiri daripada 42 warganegara Vietnam; Thailand (13 orang), China (lapan orang) dan Indonesia (empat)

Tambahnya, kesemua mereka dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Sinar Harian
1 Jun 2015

0 comments:

Post a Comment