Monday, June 8, 2015

Menang RM50,000 cipta trak pelbagai guna


Trak pelbagai guna ciptaan Zakaria telah memenangi johan Anugerah Ilham Desa peringkat kebangsaan 2015

MUAR – Menjadi satu kebanggaan kepada warga Mukim  Ayer Hitam, di sini apabila produk inovasi yang dihasilkan anak tempatan mukim berkenaan memenangi johan Anugerah Ilham Desa peringkat kebangsaan 2015, baru-baru ini.

Zakaria Selamat, 67, merupakan pencipta asal gerabak atau trak pelbagai guna iaitu sejenis pengangkutan membawa hasil pertanian yang cukup terkenal di mukim berkenaan sejak puluhan tahun lalu, dan kreativitinya itu kini diiktiraf kerajaan menerusi kemenangan tersebut.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Zakaria meraih hadiah wang tunai RM50,000 serta lawatan ke luar negara yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Rembau, Negeri Sembilan.

Penghulu mukim tersebut, Mohd Afezan Yahya berkata, Zakaria atau lebih dikenali sebagai Wak Jakan mewakili negeri ini bagi pertandingan tersebut bersama peserta lain dari 13 negeri.

Menurutnya, terdapat tujuh kategori dalam pertandingan bertemakan Komuniti Kreatif Desa Kreatif,  bertujuan mengetengahkan ilham dan inovasi penduduk kampung dari segi projek-projek yang dijalankan untuk meningkatkan pendapatan penduduk.

“Saya terpanggil mengajak Wak Jakan menyertai pertandingan itu untuk menonjolkan bakat lain, apatah lagi dia merupakan pencipta asal trak pelbagai guna ini dan alhamdulillah dia bersetuju.

“Beberapa pembuat jentera ini yang lain sudah ditonjolkan oleh pemimpin terdahulu sebelum ini.

"Kita mahu lebih ramai bakat penduduk di sini diiktiraf pihak luar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Penghulu Mukim Ayer Hitam, di sini semalam.

Mohd Afezan berkata, jentera itu sebelum ini sinonim dengan panggilan gerabak tetapi ditukar kepada baharu yang mempunyai nilai komersial iaitu trak pelbagai guna untuk tujuan pertandingan tersebut.

“Terdapat antara lima hingga lapan pengusaha jentera tersebut di mukim berkenaan, sementara lebih 500 penduduk di sini memiliki trak pelbagai guna ini.

“Momentum kemenangan akan diteruskan dengan menggalakkan lebih ramai belia mukim ini untuk menghasilkan produk baharu berinovasi tinggi dan pada masa yang sama memberi nilai tambahan kepada Mukim Ayer Hitam,” katanya.

Menurutnya, pembuatan jentera yang menggunakan enjin motosikal jenis Vespa serta digabungkan dengan besi-besi itu, amat sesuai digunakan untuk kegiatan pertanian bagi kawasan tanah gambut.

Sinar Harian
6 Jun 2015

0 comments:

Post a Comment