Saturday, June 6, 2015

Peniaga kerugian hampir RM1 juta

Pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan api bagi mengelakkan kebakaran merebak ke bangunan berhampiran

MUAR – Seorang peniaga perabot, barangan elektrik dan sarang burung walet mengalami kerugian hampir RM1 juta apabila premisnya di Jalan Jorak, Pekan Bukit Pasir, di sini, musnah terbakar.

Kebakaran membabitkan dua blok bangunan tiga tingkat itu hanya disedari penduduk berhampiran selepas terlihat kepulan asap hitam keluar daripada tingkat bawah premis berkenaan sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan kecemasan dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi.

Pemilik premis terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 60-an, berkata, dia mengetahui insiden itu selepas menerima panggilan telefon daripada adik yang tinggal di kawasan berhampiran.

"Saya yang tinggal di bandar bergegas kedai dan terkejut melihat api menjulang tinggi membakar keseluruhan bangunan perniagaan yang berusia lebih 10 tahun.

“Saya sangat terkejut serta tergamam kerana seperti sukar hendak percaya kebakaran berlaku di kedai ini. Tingkat bawah bangunan menempatkan barangan jualan perabot dan elektrik, tingkat kedua ialah bilik pameran perabot manakala tingkat ketiga pula ternakan sarang burung walet,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Marzuki Ismail berkata, seramai 22 anggota terlibat dalam operasi berkenaan termasuk pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.52 pagi.

"Bomba terpaksa mengambil tindakan memecahkan pintu utama premis berkenaan bagi tujuan memadamkan api yang sedang marak di bahagian dalam tingkat bawah bangunan.

“Kita ambil masa selama 10 minit pada peringkat awal operasi untuk mengawal api daripada merebak ke deretan 10 kedai lain yang  berhampiran," katanya.

Beliau berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Yunus Daim dapat dilakukan dengan mudah kerana mendapat bekalan air mencukupi daripada pili bomba yang terdapat di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, dua kedai terletak di sebelah kiri dan kanan bangunan itu sedikit terjejas tetapi tindakan pantas pasukan berjaya menyelamatkan daripada musnah," katanya.

Marzuki berkata, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihaknya.

Sinar Harian
6 Jun 2015

0 comments:

Post a Comment