Monday, June 1, 2015

Port belakang tokong diserbu

Azman menunjukkan peralatan perjudian yang dirampas termasuk wang tunai dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini semalam.

MUAR - Tindakan berani lapan kaki judi tegar menjadikan belakang sebuah tokong Cina di Bukit Pasir, di sini sebagai ‘port’ baharu bermain judi mengundang padah apabila ditahan Jumaat lalu yang membabitkan rampasan melebihi RM220,000.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kesemua mereka itu mempunyai 20 rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953  dan jenayah pada tahun  1983 hingga 1989.

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu turut menahan sembilan kaki judi yang lain.

“Ketika serbuan, kesemua mereka sedang mengelilingi sebuah meja empat segi yang dipercayai sedang  leka bermain judi jenis dadu.

“17 suspek  yang ditahan itu  terdiri daripada 12 lelaki berusia antara 49 hingga 63 tahun, empat perempuan (61 hingga 73 tahun) dan seorang wanita warganegara Vietnam berusia 27 tahun,” katanya dalam sidang media di IPD Muar, di sini semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi serbuan menemukan wang tunai berjumlah RM151,892, cip judi bernilai RM70,185 dan peralatan judi yang lain.

Katanya, tindakan ke atas suspek dilakukan hasil daripada maklumat orang awam  dan intipan yang dilakukan selama dua hari di belakang tokong tersebut.

“Hasil siasatan mendapati suspek sering bertukar lokasi perjudian bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 2 Jun ini  untuk membantu siasatan dan mereka juga negatif dadah berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya,” katanya.

Azman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ataupun judi yang berlaku dalam kawasan berhampiran kediaman mereka.

Kata Azman lagi, ia sebagai usaha untuk mewujudkan suasana kediaman yang selamat dan kondusif kepada orang ramai.

Sinar Harian
1 Jun 2015


Polis rampas dadah, senapang angin

MUAR - Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita dan merampas dadah jenis heroin dan syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit Pasir di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, polis juga turut menemui selaras senapang angin buatan sendiri di rumah itu dalam serbuan 5.15 petang 21 Mei lalu.

"Polis menemui dadah dipercayai syabu seberat 2.7 gram dan dadah disyaki heroin seberat 16 gram dalam serbuan itu dan selaras senapang angin buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

"Ketika serbuan polis menahan tiga lelaki berumur 25, 30 dan 37 tahun. Serta seorang wanita berumur 21 tahun dalam keadaan khayal dan kesemua dadah yang dirampas itu bernilai lebih RM5,000," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, ujian air kencing mendapati keempat-empat suspek positif methamphetamine dan mereka dipercayai mengambil dadah sebelum serbuan itu.

Sementara itu, seorang peneroka maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer 139.4 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan) berdekatan Pagoh, di sini malam tadi.

Azman berkata dalam kejadian 9.30 malam itu, Bachok Latamah, 68, yang berasal dari Felda Tunggal, Kota Tinggi maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.

Katanya kemalangan itu melibatkan dua kereta lain dan mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan ke rumah mereka di Kota Tinggi dari Kuala Lumpur. Rakan mangsa tidak mengalami kecederaan.

"Proton Persona dipandu Bachok hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan kanan lebuh raya serta berpusing beberapa kali sebelum terhenti di tengah lebuh raya berkenaan sebelum dua kenderaan lain dari arah belakang iaitu kereta BMW dan Honda Civic tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa," katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya. - Bernama

28 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment