Friday, February 18, 2011

Lakar sejarah baru

MUAR - Sekolah Menengah (SM) Sains Muar melakar sejarah apabila diisytiharkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2 di Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Limbang, Sarawak semalam.

Pengetua Kanan, Samian Sawiyo berkata, pengiktirafan itu kerana kelebihan mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan.

Menurutnya, sekolah itu mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik serta berdaya saing di persada antarabangsa.

“Pengiktirafan ini kerana sekolah ini memenuhi prasyarat iaitu berpencapaian akademik yang menunjukkan trend menaik bermula dengan Take Off Value (TOV) sekurang-kurangnya 80 peratus dalam peperiksaan awam (SPM); berpencapaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) atau instrumen yang setaraf dengannya sekurang-kurangnya 90 peratus dalam semua dimensi; menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa; berjaya melahirkan personaliti-personaliti unggul (towering personalities) yang menerajui kepimpinan negara, negeri, organisasi dan komuniti; Menjadi penanda aras dan contoh bagi sekolah-sekolah lain dari dalam dan luar negara; wujud permuafakatan yang jitu antara sekolah dengan masyarakat yang memberi impak kepada keberkesanan dan kecemerlangan pendidikan di sekolah; Mempunyai jaringan yang aktif dengan sekolah-sekolah sama ada di dalam negeri atau di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai bentuk program dan membina jaringan dengan institusi pendidikan tinggi di dalam dan di luar negara.

“Pencapaian tertinggi ini hasil kerja keras guru-guru, kakitangan dan pelajar-pelajar. Pengekalan pencapaian prestasi akademik pelajar-pelajar yang berterusan telah melayakkan Sekolah Menengah Sains Muar menerima pelbagai anugerah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, antara anugerah yang berjaya diterima sekolah tersebut ialah Anugerah Pencapaian Cemerlang SPM 2007-2009 daripada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Sijil Penghargaan Pencapaian Gred Purata Sekolah 1.34 SPM 2009 daripada KPPM, Sijil Penghargaan Pencapaian Peratus Pelajar Cemerlang Tertinggi SPM 2009 daripada Pengarah Pelajaran Johor,

“Sekolah ini turut menerima anugerah Sijil Penghargaan Pencapaian Cemerlang SPM 2009, Kategori Sekolah Berasrama Penuh daripada Pengarah Pelajaran Johor. Anugerah Emas SPM 2007 – 2009 dan Anugerah Khas 2008-2009. Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2009 yang lalu memperlihatkan SM Sains Muar berkedudukan ke-7 di Malaysia apabila seramai 130 pelajarnya memperoleh keputusan A penuh selain mengekalkan tempat pertama dalam Negeri Johor selama lima tahun berturut-turut,” katanya.

Samian berkata, lebih membanggakan apabila sekolah itu juga menjadi penanda aras dan contoh kepada sekolah-sekolah dari dalam dan luar negara.

“Sekolah ini juga mempunyai jaringan yang aktif dengan sekolah dan institusi pendidikan di luar negara iaitu dengan SMAN2 Tanjung Pinang, Riau Indonesia, SMAN1 Bukit Tinggi, Sumatera Barat Indonesia, SMAN1 Padang Panjang, Sumatera Barat Indonesia. Ly Tu Trung Technical College, Ho Chi Minh City dan Madrasah Aljunied AlIslamiah di Singapura. Jalinan antara badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan antarabangsa juga diadakan antaranya dengan China Radio International (CRI), Beijing, Ho Chi Minh City Union of Frienship (HUFO,” katanya.

Selain itu, antara pencapaian Kokurikulum 2007-2010 yang terbaik ialah apabila menerima Anugerah Khas World Robotic Olympiad, Johan Pertandingan Esei Sempena Hari Intelek Bahasa Melayu Kebangsaan, Sijil Pertandingan Sains, English, Matematik dan Kemahiran Komputer Anjuran Universiti South of Wales Australia.

Bahkan, Sekolah Menengah Sains Muar juga menyertai Kongres Pemimpin Muda Johor ke German dan Singapura, Jembori Pengakap di Sumatera Indonesia, Pertukaran Pelajar ke Jepun dan Amerika Syarikat, Peserta Pertandingan Teater di Iran dan pernah mendapat Anugerah Emas Pertandingan Inovasi Sains dan Kejuruteraan Sekolah Berasrama Penuh.

Sinar Harian
18 Feb 2011

0 comments:

Post a Comment