Saturday, February 26, 2011

Pemandu wanita terselamat

MUAR – Seorang wanita terselamat apabila kereta yang dipandunya jenis Nissan terbakar secara tiba-tiba ketika melalui Jalan Junid di sini, kelmarin.

Dalam kejadian ketika jam 8.30 pagi, Asiah Khamis berkata, dia dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Jalan Junid.

Menurutnya, apabila menghampiri persimpangan Jalan Junid, keretanya mengeluarkan asap dari papan muka kenderaannya.

“Panik dengan kejadian tersebut, saya mengambil tindakan pantas keluar daripada kereta untuk menyelamatkan diri sebelum api menjadi marak membakar kereta.

“Saya berasa bingung dan terkejut dengan insiden ini serta bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, saksi kejadian, Zakaria Muhammad, 58, berkata, dia berada di tempat kejadian semasa insiden tersebut berlaku.

Menurutnya, ketika itu dia bersama beberapa rakannya yang lain baru pulang daripada berjoging di kawasan Tanjung Emas.

“Semasa melintasi persimpangan lampu trafik berkenaan, saya terkejut melihat api marak dari sebuah kereta.

“Orang ramai yang melalui jalan ini turut menjarakkan diri dari kenderaan terbabit kerana bimbang kereta yang terbakar ini meletup dan membahayakan nyawa orang ramai,” katanya.

Menurutnya, sejurus terlihat insiden kebakaran itu, dia segera menelefon bomba untuk menyelamatkan keadaan memandangkan api semakin marak di kereta tersebut.

“Orang ramai ketakutan dan berusaha menjauhkan diri daripada kenderaan tersebut kerana bimbang akan meletup pada bila-bila masa.

“Kira-kira 10 minit kemudian anggota bomba tiba ke lokasi kejadian untuk memadamkan api, namun kenderaan itu sudah hangus terbakar,” katanya.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya mengambil masa lebih kurang lima minit untuk memadamkan api.

“Insiden ini turut menyebabkan lalu lintas di persimpangan lampu trafik di Jalan Junid sesak dan pulih sediakala apabila rangka kenderaan itu dialihkan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan mangsa terselamat daripada sebarang kecederaan,” katanya.

Sinar Harian
26 Feb 2011

0 comments:

Post a Comment