REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Thursday, March 29, 2012

Lelaki nekad terjun jambatan

MUAR – Akibat terlalu runsing menanggung beban hutang yang banyak, seorang lelaki bertindak nekad terjun ke dalam Sungai Muar.

Bagaimanapun, mayat lelaki berkenaan ditemui terapung oleh orang ramai berhampiran jeti di Jabatan Laut di sini, petang semalam.

Ng Yee Wee, 34, dilaporkan hilang oleh isterinya selepas keluar rumah kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Berikutan bimbang, isteri mangsa yang berusia 27 tahun itu segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas suaminya tidak pulang-pulang.

Timbalan Ketua Polis Da­erah, Superintendan Sa­hadan Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan lelaki berkenaan.

Menurutnya, mayat lelaki terbabit yang lengkap berpakaian ditemui orang ramai ketika hanyut berhampiran jeti berkenaan kira-kira satu kilometer dari jambatan kedua kira-kira jam 3 petang semalam.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Namun, kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya,” katanya.

Sinar Harian
29 Mac 2012

Masaalah monyet di Tanjung Ketapang

GELAGAT monyet liar yang semakin bertambah bilangannya didakwa mengganggu keselesaan pengunjung di kawasan rekreasi Tanjung Ketapang, Muar. Foto: Shahrul M.Zain (28/03/2012)

Monday, March 26, 2012

Ditemui mati dalam parit

MUAR – Hasrat seorang pemuda Orang Asli untuk mencari siput di Sungai Parit Jawa bertukar tragedi apabila dia ditemui mati di dalam parit berhampiran, kelmarin.

Orang ramai menemui mayat Well Salim, 24, selepas melihat sebuah motosikal tumbang di tepi parit, lalu menghubungi polis.

Sepupu mangsa, Ah Pin, 24, berkata, dia mengetahui insiden itu selepas menerima panggilan telefon daripada pihak polis memaklumkan penemuan mayat Well.

Menurutnya, dia sangat terkejut menerima berita tersebut kerana Well baru keluar rumah tidak sampai empat jam.

“Sebelum kejadian, dia langsung tidak menunjukkan sebarang perbuatan aneh. Dia hanya kelihatan sedikit bersungguh-sungguh untuk keluar mencari siput.

“Malah, dia juga rancak berbual dengan saya ketika kami bersarapan bersama-sama,” katanya.

Tambah Ah Pin, walaupun berasa sedikit pelik dengan sikap yang ditunjukkan Well, dia hanya mampu mendiamkan diri kerana bimbang akan menyinggung perasannya.

Katanya, Well memberitahu ibunya dia mahu keluar rumah untuk mencari siput untuk dijual di pasar berhampiran pada jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, Well tidak pulang seperti biasa sehinggalah jam empat petang.

“Kami sangka dia pulang lewat kerana singgah di rumah kawannya ataupun terus ke kedai untuk menjual hasil kutipan siputnya. Malangnya, kami dikejutkan dengan berita yang menyedihkan.

“Meskipun tidak percaya dengan berita itu, kami bergegas ke tempat kejadian dan melihat sendiri keadaan Well yang sudah tidak bernyawa.

“Walaupun pahit untuk terima berita itu, tetapi kami anggapnya ia sebagai takdir dan ujian buat kami sekeluarga,” katanya.

Ah Pin berkata, lebih memilukan melihat ibu saudaranya (ibu Well) ketika mendapat tahu kehilangan anak sulungnya itu.

Turut ditemui di tempat kejadian ialah motosikal Well dan peralatan menangkap siput.

“Kami masih tidak tahu punca kematian sepupunya itu dan sedang menunggu laporan bedah siasat.

Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Muar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk dibedah siasat dan sudah dituntut keluarganya semalam.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
25 Mac 2012

Thursday, March 22, 2012

Hadiah buat ibu, ayah

MUAR – “Kejayaan ini adalah hadiah buat ibu dan ayah untuk membalas jasanya yang semalam ini menjaga serta mendidik saya sehingga menjadi pelajar cemerlang,” luah pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 Johor apabila memperoleh 12 A+ dalam keputusan yang diumumkan semalam.

Hoo Wei Liang, 18, pelajar Sekolah Tinggi Muar antara 21 pelajar cemerlang di daerah Muar.

Anak kepada pasangan Hoo Yong Chen, 55, iaitu peniaga kain dan Lim Lay, 52, seorang guru sekolah tidak menyangka akan memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) dalam 12 mata pelajaran yang diambilnya, sekali gus dinobatkan pelajar terbaik negeri.

Pada peringkat awal, katanya, ada kalangan rakan-rakan tidak begitu menggalakkan dia untuk mengambil 12 mata pelajaran kerana bimbang dia terbeban memandangkan dia adalah pelajar aliran sains.

“Tetapi saya berjaya meyakinkan rakan-rakan dan menjadikan calon terbaik SPM yang lalu sebagai idola untuk sama mengulangi kejayaan mereka.

“Hari ini (semalam) adalah hari paling menggembirakan kerana segala penat lelah selama dua tahun membuahkan hasil,” katanya kepada Sinar Harian.

Wei Liang berkata, tiada sebarang rahsia dengan kejayaannya itu melainkan hanya memberikan tumpuan yang penuh dalam kelas.

Katanya, setiap masa lapangnya akan dipenuhi untuk mengulangi pelajaran dan menghadiri tujuh kelas tuisyen bagi meningkatkan lagi pemahaman terhadap sesuatu mata pelajaran.

“Contohnya, jika ada soalan matematik yang kurang faham, saya akan cuba untuk menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum bertanya kepada guru,” katanya.

Berpegang kepada prinsip, tiada jalan pintas untuk berjaya, Wei Liang memperuntukkan masa sekurang-kurangnya tiga jam sehari untuk mengulangi pelajaran di rumah.

Seperti remaja yang lain, dia juga akan menonton televisyen dan bermain 'game' bagi mengisi masa lapangnya.

Katanya, pelajar juga perlu untuk beriadah tetapi mereka perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan beriadah.

“Saya sangat bersyukur kerana ibu dan ayah tidak pernah beri tekanan dalam pelajaran, sebaliknya sering beri nasihat supaya belajar bersungguh-sungguh.

“Kata ibu dan ayah, hanya pelajaran sahaja boleh mengubah taraf hidup seseorang,” katanya.

Dengan keputusan cemerlang itu, Wei Liang bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat A-Level dan bercita-cita untuk menceburi bidang perubatan atau kejuruteraan sebagai kerjayanya kelak.

“Masa terluang yang ada ini, saya mahu manfaatkan sepenuhnya bersama keluarga termasuk membantu ayah di kedai sebelum melanjutkan pengajian,” katanya.

Sinar Harian
22 Mac 2012

Sunday, March 18, 2012

IPD Muar ikut arahan KDN

MUAR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kini giat menjalankan Operasi 1Malaysia sejak dua minggu lalu dalam usaha mendekati masyarakat setempat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Ko­misioner Mohamad Nasir Ramli berkata, operasi dibuat berikutan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu turut melibatkan Imigresen, Agensi Anti

Dadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

“Melalui operasi ini, kesemua agensi yang terlibat akan turun padang bertemu masyarakat untuk mendengar masalah rakyat dan menjelaskan peranan mereka kepada masyarakat.

“Mungkin selama ini terdapat segelintir ma­syarakat yang kurang faham peranan bagi sesebuah agensi kerajaan, jadi dari pertemuan itu mereka berpeluang bersemuka dengan agensi berkenaan dan bertanyakan sebarang masalah sekali gus mengetahui agensi yang paling tepat untuk mereka berurusan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama rakyat pada Operasi Rondaan 1Ma­laysia di Parit Tengah, Sungai Abong dekat sini, semalam.

“Masyarakat tidak perlu berasa malu untuk kemukakan pertanyaan kerana operasi ini untuk mendekati dan membantu masyarakat.

“Dalam operasi hari ini (semalam) adalah giliran Balai Polis Sungai Abong dengan melibatkan 25 anggota daripada tujuh agensi yang diketuai oleh Ketua Balai Polis Muar, Inspektor Mohd Ridzaudin Che Ismail,” katanya.

Katanya, operasi tersebut dijalankan setiap hari bermula jam 10 malam hingga 2 pagi dan kali ini kita telah memilih Dataran Parit Tengah, Sungai Abong yang kebetulan diadakan ceramah

Isu Semasa dan Keselamatan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di situ.

“Kesempatan ini, kita mengambil peluang bertemu rakyat dan saya lihat respons yang ditunjukkan oleh masyarakat sangat baik.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga mendapat arahan terbaru daripada KDN,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohamad Nasir juga meminta kerjasama orang ramai untuk membantu polis menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di kawasan masing-masing.

“Ini kerana orang ramai adalah ‘mata dan telinga’ kepada polis dalam setiap kes jenayah yang berlaku.

“Diharapkan kerjasama yang terjalin ini akan dapat mengurangkan kadar jenayah di da­erah Muar seterusnya dalam negara,” katanya.

Sinar Harian
18 Mac 2012

Hilang tempat berteduh

PAGOH: Seorang warga emas kehilangan tempat berteduh sejak 15 tahun lalu selepas kediamannya di Kampung Sebasu, Batu 19, di sini, hangus dijilat api, jam 10 pagi semalam.

Ketika kejadian, Khamisah Mustam, 81, tiada di rumah kerana berkunjung ke kediaman jiran bersama anak lelakinya.

Kebakaran itu disedari jiran Khamisah yang kebetulan melalui depan rumah itu untuk ke kedai berhampiran sebelum menghubungi bomba dan penyelamat.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Muar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mereka menerima panggilan kebakaran pada jam 10.02 pagi.

“Dua jentera bersama 11 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan,” katanya.

myMetro
18 Mac 2012

Saturday, March 17, 2012

Sembunyi dalam almari

MUAR – Cubaan seorang lelaki bersembunyi dalam almari pakaian untuk mengelakkan diri daripada dicekup polis gagal apabila dia berjaya diberkas pada 8 Mac lalu, kira-kira jam 12.45 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Temiang Jaya, Jalan Salleh dekat sini selepas 12 jam menceroboh masuk kawasan rumah jirannya.

Menurutnya, dalam kejadian 12.30 tengah hari pada 7 Mac lalu, suspek dipercayai cuba memecah masuk rumah jirannya di Taman Beting Indah, Jalan Salleh dekat sini.

“Malangnya kehadiran suspek disedari mangsa iaitu seorang wanita berusia 41 tahun yang kebetulan terlihat suspek memanjat pagar rumahnya. Bagaimanapun, suspek lintang pukang melarikan diri dengan motosikal apabila kehadirannya disedari mangsa yang ketika itu berada di dapur rumah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Muar di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, mangsa yang turut mengenali suspek bertindak menghubungi pihak polis dengan segera.

Katanya, susulan daripada itu berdasarkan maklumat daripada mangsa, sepasukan pihak polis yang diketuai Inspektor Junaidi Juan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar membuat serbuan ke rumah suspek.

“Pada mulanya pihak polis tidak dapat mengesan suspek sehingga seluruh rumah berkenaan digeledah. Akhirnya pihak polis menjumpai suspek sedang bersembunyi dalam almari pakaian di bahagian tingkat atas rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, setelah tembelangnya pecah, suspek enggan keluar daripada almari itu, tetapi akhirnya akur setelah dipujuk isterinya.

Katanya lagi, suspek kemudiannya di bawa ke IPD Muar dan ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan.

“Ketika tangkapan, tiada sebarang barangan rampasan diperolehi kerana suspek tidak sempat menceroboh masuk rumah jirannya setelah disedari oleh mangsa. Ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah,” katanya.

Jelasnya, suspek seorang penganggur, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugut kekasih pada tahun 2011.

Sinar Harian
17 Mac 2012

Friday, March 16, 2012

Treler bawa muatan simen terbalik

MUAR – Seorang pemandu lori nyaris maut apabila treler yang sarat membawa muatan simen dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Bukit Pasir–Muar, semalam.

Pemandu lori yang berusia lingkungan 30an itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sejurus selepas kejadian.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Ramli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi itu ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Pagoh.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, treler itu dilihatnya cuba membelok untuk memasuki kawasan kebun bunga di sini.

“Entah bagaimana semasa belok, tiba-tiba treler ini hilang kawalan dipercayai tayar belakangnya tergelincir ke dalam parit,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, ketika menghampiri treler berkenaan dia melihat pemandu treler itu sedang cuba keluar daripada tempat duduk pemandu dengan keadaan berdarah di bahagian kepalanya.

“Mujur mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan orang ramai turut membantunya," katanya.

Sinar Harian
16 Mac 2012

Monday, March 12, 2012

Taman dicemari botol arak

MUAR - Keceriaan taman rekreasi di Taman Aman, Parit Bakar dekat sini, yang dihuni lebih 1,000 penduduk tercemar dengan tindakan sekumpulan remaja menjadikan kawasan itu sebagai port melepak untuk minum minuman keras.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan semalam, turut menemui beberapa botol minuman keras itu yang dibuang merata-rata.

Penduduk mendakwa masalah tersebut telah berlanjutan sejak setahun lalu, dan sekumpulan remaja yang melepak di situ setiap malam dilihat begitu bangga minum arak di kawasan terbuka.

Salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Sulaiman berkata, kehadiran sekumpulan remaja itu telah mengganggu ketenteraman penduduk berdekatan kerana taman rekreasi ini terletak di hadapan rumah penduduk.

Menurutnya, mereka mula berkumpul melepak di kawasan tersebut sekitar jam lapan malam dan berlanjutan sehingga awal pagi.

“Di sini mereka akan membuat bising dengan menyanyi dan ketawa serta berborak kuat. Tindakan mereka ini telah menimbulkan kemarahan penduduk berhampiran. Ada penduduk yang menegur supaya tidak membuat bising tetapi mereka tidak mengendahkannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, dia yang sudah menetap di taman tersebut sejak 20 tahun lalu, pada mulanya tidak tahu kumpulan remaja itu minum minuman keras di situ, sehinggalah setelah ramai penduduk menjumpai sejumlah botol berkenaan pada siang hari.

"Kami juga pernah bertanya kepada mereka mengenai penemuan botol ini tetapi mereka tidak mengaku. Kami bimbang botol arak ini akan menjejaskan nama naik Taman Aman kepada masyarakat luar,” katanya.

Jelasnya, taman rekreasi tersebut juga menjadi tumpuan kanak-kanak bermain pada waktu petang dan mereka juga bimbang ia akan memberi impak negatif kepada golongan berkenaan.

Sementara itu, Penghulu Mukim Parit Bakar, Saujana Basemu ketika dihubungi berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis sejak sebulan lalu.

“Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan pihak polis ada membuat pemantauan di kawasan tersebut tetapi masih tidak dapat kenal pasti individu yang minum arak di kawasan berkenaan,” katanya.

Sinar Harian
12 Mac 2012