Sunday, March 18, 2012

IPD Muar ikut arahan KDN

MUAR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kini giat menjalankan Operasi 1Malaysia sejak dua minggu lalu dalam usaha mendekati masyarakat setempat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Ko­misioner Mohamad Nasir Ramli berkata, operasi dibuat berikutan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu turut melibatkan Imigresen, Agensi Anti

Dadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

“Melalui operasi ini, kesemua agensi yang terlibat akan turun padang bertemu masyarakat untuk mendengar masalah rakyat dan menjelaskan peranan mereka kepada masyarakat.

“Mungkin selama ini terdapat segelintir ma­syarakat yang kurang faham peranan bagi sesebuah agensi kerajaan, jadi dari pertemuan itu mereka berpeluang bersemuka dengan agensi berkenaan dan bertanyakan sebarang masalah sekali gus mengetahui agensi yang paling tepat untuk mereka berurusan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama rakyat pada Operasi Rondaan 1Ma­laysia di Parit Tengah, Sungai Abong dekat sini, semalam.

“Masyarakat tidak perlu berasa malu untuk kemukakan pertanyaan kerana operasi ini untuk mendekati dan membantu masyarakat.

“Dalam operasi hari ini (semalam) adalah giliran Balai Polis Sungai Abong dengan melibatkan 25 anggota daripada tujuh agensi yang diketuai oleh Ketua Balai Polis Muar, Inspektor Mohd Ridzaudin Che Ismail,” katanya.

Katanya, operasi tersebut dijalankan setiap hari bermula jam 10 malam hingga 2 pagi dan kali ini kita telah memilih Dataran Parit Tengah, Sungai Abong yang kebetulan diadakan ceramah

Isu Semasa dan Keselamatan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di situ.

“Kesempatan ini, kita mengambil peluang bertemu rakyat dan saya lihat respons yang ditunjukkan oleh masyarakat sangat baik.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga mendapat arahan terbaru daripada KDN,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohamad Nasir juga meminta kerjasama orang ramai untuk membantu polis menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di kawasan masing-masing.

“Ini kerana orang ramai adalah ‘mata dan telinga’ kepada polis dalam setiap kes jenayah yang berlaku.

“Diharapkan kerjasama yang terjalin ini akan dapat mengurangkan kadar jenayah di da­erah Muar seterusnya dalam negara,” katanya.

Sinar Harian
18 Mac 2012

0 comments:

Post a Comment