Saturday, March 17, 2012

Sembunyi dalam almari

MUAR – Cubaan seorang lelaki bersembunyi dalam almari pakaian untuk mengelakkan diri daripada dicekup polis gagal apabila dia berjaya diberkas pada 8 Mac lalu, kira-kira jam 12.45 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Temiang Jaya, Jalan Salleh dekat sini selepas 12 jam menceroboh masuk kawasan rumah jirannya.

Menurutnya, dalam kejadian 12.30 tengah hari pada 7 Mac lalu, suspek dipercayai cuba memecah masuk rumah jirannya di Taman Beting Indah, Jalan Salleh dekat sini.

“Malangnya kehadiran suspek disedari mangsa iaitu seorang wanita berusia 41 tahun yang kebetulan terlihat suspek memanjat pagar rumahnya. Bagaimanapun, suspek lintang pukang melarikan diri dengan motosikal apabila kehadirannya disedari mangsa yang ketika itu berada di dapur rumah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Muar di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, mangsa yang turut mengenali suspek bertindak menghubungi pihak polis dengan segera.

Katanya, susulan daripada itu berdasarkan maklumat daripada mangsa, sepasukan pihak polis yang diketuai Inspektor Junaidi Juan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar membuat serbuan ke rumah suspek.

“Pada mulanya pihak polis tidak dapat mengesan suspek sehingga seluruh rumah berkenaan digeledah. Akhirnya pihak polis menjumpai suspek sedang bersembunyi dalam almari pakaian di bahagian tingkat atas rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, setelah tembelangnya pecah, suspek enggan keluar daripada almari itu, tetapi akhirnya akur setelah dipujuk isterinya.

Katanya lagi, suspek kemudiannya di bawa ke IPD Muar dan ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan.

“Ketika tangkapan, tiada sebarang barangan rampasan diperolehi kerana suspek tidak sempat menceroboh masuk rumah jirannya setelah disedari oleh mangsa. Ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah,” katanya.

Jelasnya, suspek seorang penganggur, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugut kekasih pada tahun 2011.

Sinar Harian
17 Mac 2012

0 comments:

Post a Comment