Monday, March 12, 2012

Taman dicemari botol arak

MUAR - Keceriaan taman rekreasi di Taman Aman, Parit Bakar dekat sini, yang dihuni lebih 1,000 penduduk tercemar dengan tindakan sekumpulan remaja menjadikan kawasan itu sebagai port melepak untuk minum minuman keras.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan semalam, turut menemui beberapa botol minuman keras itu yang dibuang merata-rata.

Penduduk mendakwa masalah tersebut telah berlanjutan sejak setahun lalu, dan sekumpulan remaja yang melepak di situ setiap malam dilihat begitu bangga minum arak di kawasan terbuka.

Salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Sulaiman berkata, kehadiran sekumpulan remaja itu telah mengganggu ketenteraman penduduk berdekatan kerana taman rekreasi ini terletak di hadapan rumah penduduk.

Menurutnya, mereka mula berkumpul melepak di kawasan tersebut sekitar jam lapan malam dan berlanjutan sehingga awal pagi.

“Di sini mereka akan membuat bising dengan menyanyi dan ketawa serta berborak kuat. Tindakan mereka ini telah menimbulkan kemarahan penduduk berhampiran. Ada penduduk yang menegur supaya tidak membuat bising tetapi mereka tidak mengendahkannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, dia yang sudah menetap di taman tersebut sejak 20 tahun lalu, pada mulanya tidak tahu kumpulan remaja itu minum minuman keras di situ, sehinggalah setelah ramai penduduk menjumpai sejumlah botol berkenaan pada siang hari.

"Kami juga pernah bertanya kepada mereka mengenai penemuan botol ini tetapi mereka tidak mengaku. Kami bimbang botol arak ini akan menjejaskan nama naik Taman Aman kepada masyarakat luar,” katanya.

Jelasnya, taman rekreasi tersebut juga menjadi tumpuan kanak-kanak bermain pada waktu petang dan mereka juga bimbang ia akan memberi impak negatif kepada golongan berkenaan.

Sementara itu, Penghulu Mukim Parit Bakar, Saujana Basemu ketika dihubungi berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis sejak sebulan lalu.

“Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan pihak polis ada membuat pemantauan di kawasan tersebut tetapi masih tidak dapat kenal pasti individu yang minum arak di kawasan berkenaan,” katanya.

Sinar Harian
12 Mac 2012

0 comments:

Post a Comment