Saturday, February 25, 2012

Selam 5 meter cari tiram

MUAR: Menyelam ke dasar sungai sedalam lima meter lebih 50 kali dalam masa dua jam antara kepakaran dimiliki Nasir Kasim, 43, bagi mencari tiram di dasar Sungai Muar, di sini, sejak 16 tahun lalu.

Nasir berkata, dia terpaksa menyelam berulang kali dalam tempoh singkat berikutan terpaksa menunggu air pasang bagi mengelakkan arus kuat sekiranya aktiviti itu dilakukan ketika air surut.

Bukan saja menyelam pada waktu siang, dia juga pakar mengesan tiram pada waktu malam melalui kaedah meraba kedudukan makanan laut itu di dasar sungai.

“Memang kerja ini bahaya berikutan terdedah kepada risiko kemalangan seperti serangan hidupan atau ikan berbisa selain kayu yang hanyut di dasar sungai terutamanya jika menyelam pada waktu malam.

“Kerana ingin mencari rezeki, semua itu ditempuh. Dengan membaca al-Fatihah saya dengan tenang akan turun ke dalam air selepas mengenal pasti beting pasir yang menjadi lubuk tiram membiak,” katanya.

Menurut Nasir, dia mewarisi pekerjaan itu daripada ayahnya dan diturunkan kepada empat generasi bermula daripada arwah moyangnya.

Untuk menyelam, katanya, dia mengamalkan petua tidak mengambil minuman berais serta tidur yang cukup bagi mengekalkan kecergasan serta mengawal kadar oksigen dalam badan.

“Bukan senang menyelam kerana badan perlu cergas kerana kami tidak menggunakan sebarang alat bantuan pernafasan dan semuanya bergantung pada tulang empat kerat.

“Selain perlu mempunyai ketahanan menahan nafas dalam tempoh dua hingga tiga minit, penyelam juga perlu cergas kerana mesti melawan arus sungai bergantung kepada keadaan pasang surut,” katanya.

Sebagai penyelam tiram dan juga nelayan berpengalaman, Nasir pakar mencari lubuk tiram di beberapa beting pasir yang dikenal pasti.

Bagi memastikan beting berkenaan mempunyai tiram, dia menggunakan batang kayu bakau untuk merasa keadaan di dasar dan daripada itu Nasir dapat mengetahui jumlah tiram yang ada.

“Tiram berkenaan menjadi buruan penyelam berikutan permintaannya yang tinggi selain harga lumayan mencecah RM30 sekilogram.

“Bagaimanapun, jumlah tiram di sini semakin berkurangan akibat pencemaran serta banjir yang kerap melanda menyebabkan kualiti air terjejas,” katanya.

Menurut Nasir, kerana sudah biasa, mereka tetap menyelam dan kebiasaannya, musim mencari tiram adalah pada Julai dan Ogos.

“Tiram juga amat digemari masyarakat Cina kerana ia berkhasiat untuk tenaga kaum lelaki serta wanita mengandung,” katanya.

myMetro
25 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment