Friday, February 10, 2012

‘Ambok, pulanglah ke pangkuan keluarga’

MUAR: “Sejak Ambok hilang tujuh tahun lalu, tidak pernah walau sehari pun kami sekeluarga berputus asa untuk mencarinya.

“Kehilangannya amat dirasai dan kami hanya mampu berdoa supaya satu hari nanti, Ambok akan kembali ke pangkuan keluarga,” kata Yulang Abdul Samah, 55, di sini semalam.

Menurut Yulang, dia dan suaminya, Bachok Satar, 63, sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk mengesan anak kedua daripada enam beradik itu, namun hampa.

Sejak kehilangan Ambok atau nama sebenarnya Mohd Shah, hanya gambar yang menjadi pengubat rindu bagi pasangan suami isteri berasal dari Parit Keroma itu.

“Harapan kami untuk bertemu semula dengan Ambok tidak pernah padam kerana kami yakin dia masih hidup.

“Ambok hilang di laut bersama pembantunya yang dikenali sebagai Daud selepas bot dinaiki rosak ketika menangkap ikan, kira-kira 12 batu nautika dari perairan Muar, pada jam 5 pagi, 8 Januari 2005,” katanya.

Menurut Yulang, kehilangan Ambok dan Daud penuh misteri serta menjadi tanda tanya kerana jasad kedua-duanya selain bangkai atau serpihan bot tidak ditemui sehingga kini.

Yulang berkata, pada hari kejadian, Ambok ada memaklumkan kepada keluarga berkaitan kerosakan botnya sebelum anaknya itu gagal dihubungi.

“Kami bimbang sekiranya kehilangan Ambok ada kaitan dengan kegiatan lanun di kawasan perairan berkenaan, kami juga tidak menolak kemungkinan Ambok dilarikan ke negara jiran.

“Bukan kami sekeluarga tidak reda dengan ketentuan Ilahi cuma hingga kini jasadnya tidak ditemui sebagai bukti dia sudah pergi selamanya,” katanya.

Yulang membuat laporan berkaitan kehilangan Ambok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar tidak lama selepas lelaki berkenaan gagal dihubungi.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan Ambok diharap dapat menghubungi di talian 017-610 4070 atau 013-6957764.

myMetro
10 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment