MUAR: “Saya berada dalam tandas di bahagian belakang bot sebelum terjatuh ke dalam laut,” kata Beni Kassim, 25, nelayan Indonesia yang terpaksa berpaut pada tong air hampir 17 jam selepas terjatuh dalam laut apabila bot dinaikinya dilanda ombak besar di perairan antarabangsa kira-kira 12 batu nautika dari Sungai Sarang Buaya, Parit Jawa di sini, Isnin lalu.
Beni diselamatkan nelayan tempatan yang melalui kawasan berkenaan pada jam 3 pagi kelmarin, sebelum dibawa ke jeti nelayan Sungai Sarang Buaya.
Menurut Beni yang ditemui di jeti berkenaan, dalam kejadian jam 10 pagi itu, dia menjerit meminta tolong selepas terjatuh dalam laut, tetapi tidak didengari empat rakan di atas bot.
Beni yang berasal dari Kampung Baru, Tanjung Balai, keluar bersama empat rakan untuk menangkap ikan berhampiran perairan berkenaan pada jam 5 petang, Ahad lalu.
“Ketika berada di perairan berkenaan keesokan harinya, saya terasa hendak ke tandas dan membawa bersama tong air ke bahagian belakang bot.
“Ketika dalam tandas, ombak melanda dan saya terjatuh ke dalam laut bersama tong air lalu berpaut pada tong berkenaan dan menjerit namun ia tidak didengari,” katanya.
Menurut Beni, dia berpaut pada tong berkenaan semalaman dan dalam kesejukan, berharap ada nelayan menemuinya.
“Syukur doa saya dimakbulkan dan jeritan saya didengari nelayan yang melalui perairan itu,” katanya.
Nelayan yang menyelamatkan Beni, Marhasan Maion, 60, berkata dia dan seorang lagi rakan keluar menangkap ikan Isnin lalu dan dalam perjalanan pulang apabila terdengar jeritan Beni.
“Kami memasang lampu dan mendapati seorang lelaki terapung berpaut pada tong. Keadaannya sangat lemah dan dia hanya berseluar dalam.
“Kami membawanya ke atas bot serta memberinya makan sebelum membawa Beni ke jeti dan membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan mangsa dihantar menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sebelum menunggu urusan seterusnya dengan Kedutaan Indonesia.
myMetro
2 Feb 2012
0 comments:
Post a Comment