Tuesday, February 14, 2012

Jangan benci penjawat awam

MUAR - Rakyat diminta supaya tidak membenci kakitangan awam jika disaman atau ditahan penguat kuasa ketika dalam operasi sekatan jalan raya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, saman yang dikeluarkan pihak penguat kuasa adalah sebagai hukuman kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

Menurutnya, penguat kuasa hanya menjalankan tanggungjawab dan rakyat seharusnya menghormati serta memberikan kerjasama kepada mereka.

“Lazimnya rakyat yang tidak memiliki lesen memandu yang sah akan cuba melarikan diri apabila ternampak pihak penguat kuasa.

“Bagi menghilangkan sikap sedemikian, kerajaan me­lalui program transformasinya mengadakan program 1Komuniti 1Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meramaikan lagi bilangan rakyat memiliki lesen memandu,” katanya pada ucapan ketika merasmikan program 1Komuniti 1JPJ Parlimen Muar di Sekolah Kebangsaan Parit No 5, Parit Yusof dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, bagi rakyat yang sudah mempunyai lesen, perlu mempertingkatkan kemahiran pemanduan yang betul.

“Paling penting mereka tidak lupa untuk memperbaharui lesen yang mati setiap tahun bagi mengelakkan disaman penguat kuasa.

“Budaya menghormati di antara pemandu juga perlu diterapkan supaya dapat mengurangkan bilangan kemalangan di jalan raya,” katanya.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, untuk meletakkan sasaran negara maju berpendapatan tinggi bukan diukur dari segi ekonomi semata-mata, sebaliknya, turut mengambil kira pelbagai faktor.

“Kita tidak boleh menjadi negara maju dengan memiliki rakyat yang berfikiran seperti rakyat di negara membangun atau negara mundur.

“Kita mahukan rakyat yang seiring dengan kemajuan dan bagi mereka yang melanggar undang-undang perlu dikenakan penguatkuasaan,” katanya.

Menurutnya, membiarkan rakyat menggunakan kenderaan tanpa lesan sah, umpama kerajaan membenarkan rakyat melanggar undang-undang.

“Penglibatan agensi JPJ turun padang bertemu rakyat membawa mesej yang mendalam iaitu menggalakkan rakyat berfikiran seperti rakyat di negara maju,” katanya.

Difahamkan, seramai 178 golongan berusia 40 tahun dan ke atas menerima lesen motosikal pada program berkenaan yang disampaikan Razali.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali dan Pegawai Daerah Muar, Amran Abd Rahman.

Sinar Harian
14 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment