Wednesday, February 1, 2012

Pekerja restoran dibunuh

MUAR 31 Jan. – Seorang pekerja wanita sebuah restoran ditemui mati berlumuran darah di tepi jalan di Kilometer 1.6, Jalan Bakri di sini malam tadi.

Puteri Setiana Subari (gambar), 23, warga Indonesia yang bekerja di sebuah restoran di Jalan Joned di sini, ditemui masih bernyawa kira-kira pukul 11.50 malam sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas dibawa ke hospital.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat kejadian namun punca pembunuhannya belum dikenal pasti.

“Polis tidak menemui apa-apa senjata di tempat kejadian. Kes ini masih disiasat dan kita sedang menunggu laporan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, rakan mangsa, Nurhidayah Rai, 25, mendakwa, dia dan mangsa berjalan kaki dari tempat kerja untuk pulang ke rumah di Jalan Sakeh.

Namun, sebaik sahaja melalui Jalan Arab, seorang lagi rakan yang menaiki motosikal mempelawa untuk menghantar dia ke rumah menyebabkan Puteri Setiana terpaksa berjalan sendirian.

“Sebelum menaiki motosikal, saya sempat berpesan kepada dia untuk berjumpa di Jalan Parit Tiram tetapi hampir satu jam menunggu, dia tidak muncul. Saya cuba hubungi telefon bimbitnya, namun tiada jawapan dan sejam selepas itu dimaklumkan mengenai kematiannya,” katanya.

Utusan
1 Feb 2012


Mati pulang kerja

MUAR: “Saya terkejut apabila dimaklumkan Puteri ditemui meninggal dunia dengan kesan tikaman pada tubuhnya di tepi jalan,” kata Nurhidayah Rai, 25, rakan seorang wanita warga Indonesia yang dijumpai mati di tepi Jalan Bakri Batu 1, malam kelmarin.

Puteri Setiana Subari, 23, pekerja sebuah restoran di Jalan Junid di sini, dipercayai ditikam ketika pulang dari tempat kerja dan mayatnya ditemui pada jam 11.20 malam.

Menurut Nurhidayah, dia dan Puteri berjalan kaki bersama selepas habis kerja pada jam 10 malam, pulang ke rumah sewa mereka di Jalan Sakeh dan apabila tiba di Jalan Arab, seorang kenalan yang menunggang motosikal mempelawa untuk menghantar mereka pulang.

“Saya menumpangnya terlebih dulu dan berpesan kepada Puteri supaya menunggu di Jalan Parit Tiram kerana ia hampir dengan rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Bagaimanapun, menurut Nurhidayah, selepas menunggu hampir sejam, Puteri masih tidak muncul dan dia serta rakan berusaha mengesannya di sekitar bandar Muar, tetapi gagal.

Katanya, dia turut menghubungi telefon bimbit Puteri berkali-kali, namun tidak berjawab dan terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan memberitahu Puteri ditemui mati di tepi jalan.

“Saya amat terperanjat kerana kami bersama sejam sebelum itu. Kehilangan Puteri sangat dirasai kerana dia antara rakan rapat sepanjang tiga tahun bekerja di negara ini,” katanya.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hartono, 30, berkata, dia mengetahui kematian adiknya pada jam 12 tengah malam selepas dimaklumkan Nurhidayah lalu bergegas ke tempat kejadian.

“Kali terakhir kami berbual dua hari lalu dan Puteri tidak menunjukkan sebarang perubahan. Jenazahnya akan dihantar pulang ke Jawa Barat selepas semua urusan di sini selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi menolak ragut kemungkinan punca kematian mangsa.

“Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. Punca kematian dan motif kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

myMetro
2 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment