Friday, February 17, 2012

Inisiatif cipta baja sendiri

MUAR - Bagi menghasilkan buah kelapa sawit yang berkualiti dan tanaman yang subur, seorang pengusaha kebun kelapa sawit menggunakan kepakaran mencipta baja buatan sendiri daripada biji atau isi sawit.

Bajuri Tahir, 62, dari Parit Pechah, Parit Jawa berkata, idea menghasilkan baja itu tercetus selepas mendapati tanaman sawitnya kurang berkualiti.

Menurutnya, baja itu dinamakan baja kahwin pokok sawit yang berpotensi digunakan secara meluas di kebun atau ladang kelapa sawit.

“Baja ini juga menggunakan campuran bunga sawit jantan, tepung kelapa sawit kasar dan sedikit baja campuran diproses bersama menjadi serbuk.

“Baja dalam bentuk serbuk ini digunakan dengan membancuh bersama air sebelum disemburkan ke bahagian akar pokok yang muda dan juga di bahagian buah sakit,” katanya kepada Sinar Harian.

Bajuri berkata, hasilnya pokok menjadi lebih subur dan buah sawit kelihatan lebih besar dengan berat boleh mencecah sehingga 50 kilogram berbanding sebelum ini hanya seberat 10 kilogram.

Jelasnya, sebaik mencipta baja tersebut, dia mencuba menggunakan baja pada tanaman sawitnya di kawasan kebun seluas empat hektar dan terbukti berkesan.

“Keberkesanan baja ini turut diakui oleh pejabat pertanian daerah yang kini sedang bekerjasama dengan pihak saya termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam usaha mengkomersialkannya.

“Baja ini sangat menjimatkan dan hanya perlu disemburkan dua kali sebulan pada tanaman,” katanya.

Tambahnya, dia berhasrat untuk mengkomersialkan baja itu dan bercadang untuk menjualnya secara satu paket kecil berharga RM20 yang boleh disemburkan untuk 50 pokok dan buah sawit.

“Selama ini buah sawit yang terdiri daripada lapisan luar bermula dari bahagian kulit buah berwarna kemerahan dan licin, sabut buah dan pelindung intinya diproses untuk menjadi minyak dan sebagainya.

“Tetapi kini, inti sawit selain diproses menjadi makanan haiwan, berjaya dijadikan bahan makanan dan baja untuk pokok sawit serta terbukti berkesan,” katanya.

Oleh yang demikian, Bajuri mempelawa petani yang berminat untuk mencuba dan mendapatkan baju tersebut datang sendiri ke makmal Bajuri di Taman Molek, Parit Pechah, Parit Jawa.

Sinar Harian
17 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment