MUAR - Lapan beranak di Kampung Parit Abdul Aziz, Sungai Balang Darat dekat sini, terpaksa tinggal di pondok usang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada Jun tahun lalu.
Norhawa Arip, 37, berkata, pondok tersebut dibina atas tanah milik ibu mertuanya hasil gotong-royong penduduk kampung kerana mereka sekeluarga tidak mempunyai tempat untuk berteduh.
Menurutnya, pondok berukuran 20x15 kaki ini didiami bersama suami, Ariffin Md Amin, 39, dan enam anak mereka berusia 15 hingga tiga tahun, sejak lapan bulan lalu.
“Pendapatan suami sebagai pemandu lori tidak menentu kerana bergantung kepada perjalanan lori telah menyukarkan kami untuk membina rumah baru.
“Ia sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk perlu menanggung lima daripada enam anak yang masih bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Norhawa berkata, keadaan pondok itu juga sudah tidak kukuh, selain tidak mempunyai ciri keselamatan kerana hanya berdindingkan zink dan kanvas serta tidak berpintu.
“Jika hujan lebat, tidur malam kami sekeluarga sering terganggu kerana terkena tempias air hujan berikutan kanvas ini tidak mampu menahan tiupan angin yang kuat.
“Ketika inilah anak-anak terpaksa berhimpit-himpit mencari tempat berteduh bagi mengelak diri daripada terkena tempias air hujan,” katanya.
Menurutnya, hatinya begitu sayu bila melihat anak-anak membesar dalam keadaan kediaman yang kurang sempurna.
“Pondok ini tidak mempunyai bilik dan di ruang yang sempit inilah menjadi tempat tidur, tempat berehat, tempat makan dan tempat anak-anak membuat kerja sekolah.
“Pondok ini juga tidak mempunyai bekalan elektrik dan saya terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dengan menyambung wayar menerusi rumah jiran bersebelahan rumah,” katanya.
Norhawa berkata, setiap malam pondok ini hanya bertemankan cahaya malap menggunakan satu mentol lampu sahaja.
“Pada siang hari pula, kami sekeluarga terpaksa menahan panas zink kerana bumbung pondok ini terlalu rendah.
“Atas ihsan daripada rakan suami yang telah memberikan kanvas dan kami jadikannya sebagai pengganti siling, Alhamdulillah dapat kurangkan sedikit panas dalam pondok ini,” katanya.
Menurutnya, kadang-kadang anak-anaknya merungut kerana tidak berasa selesa tinggal dalam pondok yang mereka duduki ketika ini.
“Saya hanya mampu memujuk mereka dengan mengatakan akan segera bina rumah apabila wang simpanan mencukupi.
“Apa yang menggusarkan hati saya apabila memikirkan keselamatan anak perempuan berusia 15 tahun kerana dia sering tinggal sendirian dengan keadaan rumah yang tidak berpintu,” katanya.
Norhawa berkata, selepas tragedi tersebut dia ada membuat permohonan rumah baru daripada Baitulmal menerusi ketua kampung tetapi masih tidak mendapat sebarang maklum balas positif.
Sementara itu, Ketua Kampung berkenaan, Abdullah Basiron berkata, pihaknya akan membantu untuk mengemukakan semula permohonan tersebut.
Sinar Harian
22 Feb 2012
0 comments:
Post a Comment