Monday, January 30, 2012

'Lukisan' ikan dalam sepotong kayu

MUAR 29 Jan. - Seorang kakitangan kerajaan di sini terkejut apabila menemui 'lukisan' menyerupai ikan selepas memotong sebatang pokok yang tumbang sejak seminggu lalu di sebuah kebun di Lenga dekat sini semalam.

Mohamad Landa, 41, berkata, lukisan tersebut ditemui dalam satu bahagian batang pokok yang dipotongnya tetapi sebelum itu berlaku beberapa perkara aneh.

"Semasa memotong bahagian itu, mesin pemotong kayu mengeluarkan percikan api dan ia sangat keras berbanding bahagian lain, malah saya juga disengat enam ekor tebuan.

"Selepas memotongnya saya tidak berasa apa-apa dan semasa berehat, hati saya amat tertarik untuk melihat belahan kayu itu dan apabila terpandang lukisan tersebut, saya seakan tidak percaya.

"Ia kelihatan lukisan menyamai ikan bawal cermin di bahagian belahan pokok itu. Saya sangat terkejut dan hanya mampu menyebut subahanallah 10 kali," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, semua yang disaksikan itu adalah petunjuk kebesaran Allah dan ia merupakan pengalaman pertama sejak mengambil upah memotong pokok 10 tahun lalu.

Menurutnya, pokok tersebut sudah tumbang seminggu lalu dan disuruh ibu saudara supaya memotongnya setelah dilihat mula menjadi sarang tebuan.

Mohamad tidak bercadang untuk menjual bahagian pokok tersebut meskipun ada rakan-rakannya yang menawarkan harga RM20,000 untuk membelinya.

"Saya mahu menyimpannya sebagai kenangan dan menganggap ada rahsia tersembunyi di sebalik penemuan kayu ini," katanya.

Utusan
30 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment