Sunday, January 22, 2012

Peniaga enggan jual makanan laut mahal

MUAR – Ramai peniaga di Pasar Awam Maharani di sini memutuskan tidak menjual sebahagian daripada makanan laut yang dikehendaki masyarakat Cina untuk Tahun Baru Cina pada Isnin ini kerana harganya yang terlalu tinggi.

Mereka mendakwa perlu membayar lebih kepada pembekal meskipun harga syiling sudah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) setiap kali tiba musim perayaan.

Peniaga, Zainal Omar berkata, harga runcit untuk udang putih sudah ditetapkan RM38 sekilogram, tetapi pembekal mengenakan harga RM45 sekilogram.

“Banyak barangan tidak dijual seperti udang putih dan ikan bawal putih semasa musim perayaan ini kerana harga terlalu tinggi.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa jenis makanan laut tidak tersenarai dalam penetapan harga syiling,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar, Chris Lee Ching Yong mengetuai pasukan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Muar hadir membuat pemeriksaan semakan harga di pasar berkenaan.

Ching Yong berkata, kebanyakan barangan peniaga di sini tersenarai di bawah harga syiling bagi jualan sempena Tahun Baru Cina dan terdapat barangan yang pada harga lebih rendah.

“Ini termasuk ayam, telur, daging babi, bawang, kubis bulat dan saya gembira kerana peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Ramai peniaga merungut kerana persaingan dengan pasar raya besar yang menawar harga rendah terutama sayur-sayuran,” katanya.

Katanya lagi, misalnya, sayur saderi dijual pada harga RM6 sebungkus berbanding RM4 sebungkus di pasar raya.

Menurutnya, rata-rata pembeli begitu gembira kerana harga barangan basah di pasar masih rendah dan mereka mahu pihak berkuasa lebih kerap membuat pemantauan.

“Kita sedia maklum, pasar raya besar membeli barang-barang secara pukal, dan sebab itu mereka boleh jual pada harga jauh lebih rendah.

“Manakala, peniaga kecil membeli barangan dengan kuantiti yang sedikit, jadi mereka perlu menampung kos yang jauh lebih tinggi,” katanya.

Sinar Harian
22 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment