Sunday, January 15, 2012

Rosdi pemangku Timbalan Ketua Polis Muar

ISMAIL Yatim (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas antara Rosdi Shariff (kanan) dengan Lee Choon Guan di IPD Muar, Johor, semalam.

MUAR 14 Jan. - Deputi Supritendan Rosdi Shariff dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Muar berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan Supritendan Lee Choon Guan yang bersara wajib.

Choon Guan, 56, yang berasal dari Jerantut, Pahang memegang jawatan itu sejak empat tahun lalu manakala Rosdi pula merupakan Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Majlis serah tugas tersebut disaksikan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim di Bilik Mesyuarat IPD Muar, hari ini.

Choon Guan dalam ucapannya melahirkan penghargaannya terhadap semua pihak yang memberi sokongan dan kerjasama sepanjang berkhidmat di daerah tersebut.

"Diharapkan kerjasama padu terus diberikan kepada pengganti saya," katanya yang telah berkhidmat selama 36 tahun dalam pasukan polis dan dikenali sebagai individu yang tegas tetapi mudah mesra.

Ismail pula berkata, persaraan itu merupakan satu kehilangan kepada pasukan kerana Choon Guan merupakan seorang pegawai polis yang komited dan dedikasi dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, walaupun semasa bercuti atau sakit tetapi beliau tetap memberi perkhidmatan bagi memastikan tanggungjawabnya dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

"Kita mengalu-alukan sumbangan beliau pada masa akan datang sama ada dalam bentuk buah pemikiran atau pendapat. Sepanjang bertugas beliau menunjukkan prestasi yang cemerlang," katanya.

Utusan
15 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment