Thursday, January 26, 2012

Kilang perabot terbakar

MUAR – Bunyi letupan kecil yang mengejutkan tidur dua pekerja kilang perabut di Jalan Kebun Bakri Batu 6, dekat sini akhirnya berjaya menyelamatkan kilang tersebut daripada musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi itu menyebabkan bahagian belakang kilang berkenaan dan tiga longgok kayu untuk membuat perabut terbakar.

Salah seorang pekerja kilang itu yang enggan dikenali berkata, sebaik sahaja terdengar bunyi letupan, dia mencari arah bunyi itu dan terkejut melihat bahagian belakang kilang sudah terbakar.

Katanya, dalam ketakutan, dia cuba menghubungi majikannya untuk memaklumkan kejadian itu.

“Saya dan rakan cuba juga memadamkan api dengan menyiram air menggunakan baldi tetapi tidak berjaya kerana api semakin marak,”katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 4.37 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama 12 anggota dan dua jentera.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, keadaan api sedang marak dan kepantasan anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kilang berhampiran.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporakan dan pihak bomba berjaya memadamkan keseluruhan api kira-kira jam 5.30 pagi.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah kedai runcit di Jalan Junid, dekat sini yang terbakar bahagian belakang turut dapat diselamatkan.

Kejadian tersebut melibatkan kebakaran pada bahagian stor kedai terbabit yang menempatkan simpanan kayu arang.

Kejadian itu disedari orang awam yang melalui hadapan kedai itu, lalu bertindak menghubungi pihak bomba.

Difahamkan, lapan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan api kebakaran.

Sinar Harian
25 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment