Wednesday, January 4, 2012

Tragedi pulang bercuti

MUAR – Kegembiraan dua keluarga pulang bercuti dari Melaka bertukar tragedi apabila dua ahli keluarganya maut setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 143.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Pagoh, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Onn Hwee Kien, 30, dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang treler yang membawa muatan kertas.

Akibat rempuhan itu, dua daripada 11 orang dalam kereta Toyota Estima itu maut di tempat kejadian.

Mereka yang terbunuh ialah isteri Hwee Kien, Chow Sew Kit, 29, dan bapanya, Onn Kim Tai, 69.

Manakala, enam ahli keluarga yang lain masih menjalani rawatan di wad Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan tiga yang lain dilaporkan sudah keluar hospital.

Bagaimanapun, pemandu treler, Misran Amin, 49, tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Abang kepada mangsa terbunuh, Chow Kah Hui, 33, berkata, adiknya sekeluarga bertolak ke Melaka Ahad lalu untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baru.

Menurutnya, mendiang tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kelihatan begitu gembira sebelum bertolak ke Melaka.

“Saya tidak sangka, itulah pertemuan terakhir dan lebih menyedihkan tidak sempat menyambut perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kah Hui berkata, percutian tersebut turut disertai kedua ibu bapa mereka, Chow Ye, 64, dan Lau Siu Ling, 56, serta 20 ahli keluarga lain dengan menggunakan dua kenderaan MPV.

“Saya menerima panggi­­lan pada jam 7 malam, mengatakan salah sebuah kenderaan yang dinaiki ahli keluarga terbabit dalam kemalangan di Kilometer 143.4 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pagoh.

“Setibanya di HPSF, saya dapati Sew Kit sudah meninggal dunia, manakala adik ipar, Hwee Kien, yang memandu Toyota Estima berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan insiden tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di talian 06-9526222,” katanya.

Sinar Harian
4 Jan 2012


Sorok berita adik mati

MUAR: “Sehingga kini saya belum memaklumkan ibu dan bapa kematian adik. Ini kerana kedua-duanya masih dirawat dan jika diberitahu, menjejaskan emosi mereka,” kata Chow Kah Hui, 33, abang mangsa kemalangan maut, Chow Sie Kit, 26, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, Sie Kit dan bapa mentuanya, Onn Kim Tai, 69, duduk di tempat duduk sebelah pemandu serta penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima ke Johor Bahru.

Ketika tiba di Kilometer 143.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur keluar ke Pagoh, pemandu Estima yang juga suami Sie Kit, Onn Hwee Kien, 30, dikatakan tidak sempat mengelak treler yang sarat muatan kertas lalu merempuh belakang treler berkenaan.

Sie Kit dan Kim Tai mati di tempat kejadian cedera parah di kepala dan badan.

Menurut Kah Hui, Sie Kit sekeluarga bertolak ke Melaka Ahad lalu bercuti sempena sambutan tahun baru.

“Percutian itu disertai ibu dan bapa, Chow Ye yang berusia 64 tahun serta Lau Siu Ling yang berumur 56 tahun. Anak saya, Gi Kai yang berumur dua tahun turut bersama mereka,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), semalam.

Menurut Kah Hui, percutian keluarga itu disertai 22 ahli keluarga dengan menaiki dua MPV.

myMetro
4 Jan 2012


Pemandu gagal elak treler

PAGOH: Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang terbabit dengan kemalangan di Kilometer 143.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur keluar ke Pagoh di sini, kelmarin dipercayai gagal mengelak treler di hadapannya.

Jurucakap polis berkata, Estima berkenaan merempuh treler itu menyebabkan dua penumpangnya mati di tempat kejadian.

“Kejadian pada jam 6.40 petang dan satu tayar treler tercabut akibat rempuhan itu,” katanya, semalam.

Estima berkenaan satu daripada dua MPV digunakan 22 ahli keluarga untuk bercuti di Melaka sejak Ahad lalu sempena tahun baru.

Ketika kejadian, mereka dikatakan pulang ke Johor Bahru.

Menurut jurucakap berkenaan, pemandu treler, Misran Amin, 49, tidak cedera dan membuat laporan polis sejurus kemalangan.

“Punca sebenar kejadian masih disiasat dan kami merekodkan keterangan pemandu Estima untuk siasatan.

“Dua mayat terbabit sudah dituntut keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian. Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro
4 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment