Monday, March 26, 2012

Ditemui mati dalam parit

MUAR – Hasrat seorang pemuda Orang Asli untuk mencari siput di Sungai Parit Jawa bertukar tragedi apabila dia ditemui mati di dalam parit berhampiran, kelmarin.

Orang ramai menemui mayat Well Salim, 24, selepas melihat sebuah motosikal tumbang di tepi parit, lalu menghubungi polis.

Sepupu mangsa, Ah Pin, 24, berkata, dia mengetahui insiden itu selepas menerima panggilan telefon daripada pihak polis memaklumkan penemuan mayat Well.

Menurutnya, dia sangat terkejut menerima berita tersebut kerana Well baru keluar rumah tidak sampai empat jam.

“Sebelum kejadian, dia langsung tidak menunjukkan sebarang perbuatan aneh. Dia hanya kelihatan sedikit bersungguh-sungguh untuk keluar mencari siput.

“Malah, dia juga rancak berbual dengan saya ketika kami bersarapan bersama-sama,” katanya.

Tambah Ah Pin, walaupun berasa sedikit pelik dengan sikap yang ditunjukkan Well, dia hanya mampu mendiamkan diri kerana bimbang akan menyinggung perasannya.

Katanya, Well memberitahu ibunya dia mahu keluar rumah untuk mencari siput untuk dijual di pasar berhampiran pada jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, Well tidak pulang seperti biasa sehinggalah jam empat petang.

“Kami sangka dia pulang lewat kerana singgah di rumah kawannya ataupun terus ke kedai untuk menjual hasil kutipan siputnya. Malangnya, kami dikejutkan dengan berita yang menyedihkan.

“Meskipun tidak percaya dengan berita itu, kami bergegas ke tempat kejadian dan melihat sendiri keadaan Well yang sudah tidak bernyawa.

“Walaupun pahit untuk terima berita itu, tetapi kami anggapnya ia sebagai takdir dan ujian buat kami sekeluarga,” katanya.

Ah Pin berkata, lebih memilukan melihat ibu saudaranya (ibu Well) ketika mendapat tahu kehilangan anak sulungnya itu.

Turut ditemui di tempat kejadian ialah motosikal Well dan peralatan menangkap siput.

“Kami masih tidak tahu punca kematian sepupunya itu dan sedang menunggu laporan bedah siasat.

Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Muar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk dibedah siasat dan sudah dituntut keluarganya semalam.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
25 Mac 2012

0 comments:

Post a Comment