REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Friday, February 21, 2014

Rempuh pintu masuk sekolah

Keadaan kereta dinaiki tiga beranak setelah merempuh pintu masuk sekolah. - Foto Sinar Harian

MUAR - Sebuah keluarga Orang Asli nyaris maut apabila kereta dinaiki melanggar tiang lampu sebelum merempuh pintu masuk sebuah sekolah di Parit Keroma, Jalan Dato’ Haji Kosai, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, kereta Honda yang dinaiki tiga beranak itu hilang kawalan sebelum melanggar tiang dan tembok sekolah Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Yok Eng hingga mengakibatkannya remuk di bahagian bumbung, depan dan belakang.

Pemandunya, Abu Lau, 39, dari Kampung Tanjung Selabu berkata, semasa kejadian, dia sekeluarga baharu pulang dari bandar bertemu rakannya dan dalam perjalanan untuk bermalam di rumah ibu mertua di pekan Parit Bakar.

“Setiba di tempat kejadian, sebuah motosikal di belakang memotong dan menyalakan signal kiri secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang kiri. Keadaan itu membuatkan saya cuba mengelak ke kanan, tetapi terdapat sebuah kereta di hadapan.

“Saya cuba mengelak kereta dari arah bertentangan itu, tetapi menyebabkan saya hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu dan merempuh pagar sekolah berkenaan,” katanya, kelmarin.

Abu mengeluarkan isterinya, Wati, 35, serta anaknya, Wilson, 2, dari keretanya yang remuk teruk malah bersyukur tidak mengalami kecederaan.

Pengawal keselamatan sekolah terbabit, Mohd Azali Mohd Zakaria mengakui bernasib baik kerana kereta berkenaan tidak merempuh pondok pengawal keselamatan yang berkedudukan hanya bersebelahan pintu masuk sekolah berkenaan.

Katanya, sebelum kejadian, terdengar dua dentuman yang kuat dan akibat pelanggaran berkenaan pintu masuk sekolah terbabit yang mempunyai pagar besi serta tembok batu runtuh.

“Dua ambulans dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini dikejarkan ke tempat kejadian, tetapi mereka bernasib baik walaupun kereta dinaiki remuk teruk, lelaki tersebut dan keluarganya tidak apa-apa.

Mohd Azali berkata, mujur kejadian berkenaan berlaku pada sebelah malam kerana sekiranya terjadi pada sesi persekolahan, dibimbangi akan berlaku insiden tidak diingini kerana jalan itu sibuk pada sebelah siang.

“Kejadian ini tidak mengganggu sesi persekolahan bagi kira-kira 100 murid di SJKC Yok Eng dan semuanya berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan memberitahu kes itu masih dalam siasatan.

Sinar Harian
21 Feb 2014

Tuesday, February 18, 2014

Orang ramai panik di Mahkamah Muar

Orang ramai di perkarangan bangunan mahkamah diberi penerangan mengenai situasi dihadapi.

MUAR - Kira-kira 300 orang yang berada di Kompleks Mahkamah Muar di Jalan Temenggong Ahmad, di sini, panik dan bertempiaran menyelamatkan diri apabila siren kecemasan bangunan itu berbunyi.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, keadaan menjadi kelam kabut apabila seorang lelaki berusia 27 tahun dikatakan tertekan suis kecemasan berhampiran kaunter pendaftaran di tingkat satu bangunan itu.

Seorang saksi enggan dikenali yang juga pekerja di mahkamah berkenaan berkata, akibat perbuatan itu, keseluruhan sistem penggera di bangunan yang menempatkan Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi berbunyi.

“Sejurus sistem penggera kecemasan diaktifkan secara automatik, bekalan elektrik di bangunan mahkamah terputus. Semua yang berada di bangunan itu iaitu kakitangan mahkamah, peguam dan orang ramai diarahkan turun serta-merta.

“Mereka berebut turun melalui tangga kerana lif tidak berfungsi, sebelum berkumpul di perkarangan mahkamah,” katanya semalam.

Selang beberapa minit, sekumpulan anggota dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar dikejarkan ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan di bangunan tersebut.

Katanya, keadaan yang disangka kebakaran itu membuatkan pihak pengurusan mahkamah mengumumkan semua kes di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret ditangguh sehingga petang ini, manakala kes Mahkamah Tinggi ditangguh sehingga esok.

"Sejurus pemeriksaan, didapati punca sistem penggera itu aktif akibat ditekan. Lelaki itu mengaku tidak tahu suis berkenaan akan menghidupkan siren kecemasan di seluruh bangunan.

"Setelah menekan suis itu, dia berulang kali menekannya dengan harapan bunyi siren terhenti tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek ditahan dan disoal siasat selepas pihak pendaftar mahkamah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar tidak berapa lama selepas itu.

“Pihak pendaftar mahkamah ternampak suspek menekan butang kecemasan. Kita masih siasat motif suspek, sama ada sengaja atau sebaliknya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Sinar Harian
18 Feb 2014

Thursday, February 6, 2014

Ibu tunggal huni rumah usang

Zainab menunjukkan lantai rumahnya yang berlubang dimakan anai-anai.

MUAR – Seorang ibu tunggal terpaksa menghuni kediaman usang dengan keadaan lantai reput dimakan anai-anai dan bumbung bocor kerana tidak mempunyai kemampuan baik pulih rumah didiami.

Zainab Ahmad, 57, dari  di Lorong Haji Ahmad, Bakri Batu 5, di sini, tinggal di rumah  pusaka arwah bapanya, namun kediaman itu mula rosak sejak enam tahun lalu dan  keadaannya semakin teruk sejak kebelakangan ini.

 Menurutnya, dia menetap rumah berkenaan bersama anak saudaranya, Siti Nurashikin Sahadan, 15, kerana menjaga emaknya, Aminah Mahmud, 83, yang kini sakit tua dan memerlukan perhatian rapi.

“Setiap kali hujan, ruang dalam rumah ini akan dipenuhi bekas untuk menadah air bagi mengelakkan lantai dibanjiri dengan air hujan yang boleh menjadikan kerosakan lantai semakin teruk.

“Memang sedih apabila mengenangkan keadaan rumah ini dan khuatir bumbung rosak akan merebak  ke bahagian yang menempatkan ibu,” katanya.

 Zainab berkata, dia sebolehnya mahu memperbaiki rumah itu kerana kediaman berkenaan menyimpan banyak kenangannya ketika kecil bersama arwah ibu bapa dan 10 beradik lain.

“Saya dengan rela hati mahu jaga emak memandangkan adik beradik yang lain sibuk dengan komitmen kerjaya dan keluarga masing-masing.

“Namun mereka kerap pulang ke kampung menziarahi ibu apabila mempunyai masa terluang selain mengirimkan wang belanja RM300 setiap bulan untuk perbelanjaan,” katanya.

 Zainab berkata, dia pernah bercadang bekerja di kawasan berdekatan dengan rumahnya, tetapi terpaksa dilupakan kerana bimbang untuk meninggalkan ibu bersendirian di rumah.

“Saya berharap ada pihak yang prihatin membantu untuk menyelesaikan masalah dihadapi dan merealisasikan impian untuk tinggal rumah yang selesa serta sempurna,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua MCA Bahagian Bakri, Chris Lee Ching Yong berkata, pihaknya akan menemui ibu tunggal terbabit untuk mengenalpasti masalah dihadapi bagi membolehkan bantuan diberikan secepat mungkin.

Sinar Harian
4 Feb 2014

Pemandu lori putus kaki, maut dalam kemalangan

Keadaan lori dipandu mangsa remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 141.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 6 Feb. - Seorang pemandu lori maut manakala kelindannya cedera selepas lori tiga tan yang dipandunya merempuh sebuah treler di Kilometer 141.3 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan berhampiran Yong Peng hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, pemandu berkenaan, S. Kalaimani, 33, putus kaki kanan manakala kelindan yang berusia dalam lingkungan 30-an cedera di kepala dipercayai terhantuk pada papan pemuka lori tersebut.

Mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru untuk menghantar barangan runcit dan apabila tiba di tempat kejadian, lori tersebut hilang kawalan lalu merempuh belakang treler tersebut.

Akibat pelanggaran tersebut, lori berkenaan remuk di bahagian hadapan, sekali gus mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk.

Kalaimani yang berasal dari Klang, Selangor terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam sebelum beberapa anggota bomba dan penyelamat Muar tiba di tempat kejadian dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkannya.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Johar Tumin berkata, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera dan dua buah motosikal bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 7.50 pagi.

"Kita mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit manakala kelindannya sudah dikeluarkan oleh orang awam yang menggunakan jalan berkenaan.

"Pemandu terbabit yang dalam keadaan lemah akibat pendarahan ekoran kecederaan parah dialaminya berjaya dikeluarkan dengan bantuan peralatan khas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu kelindan terbabit kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Utusan 6 Feb 2014

Wednesday, February 5, 2014

Kilang perabot terbakar, kerugian dianggar RM2 juta

ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir dekat Muar pagi tadi. FOTO Syarafiq Abd Samad

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan api dalam kebakaran sebuah kilang menghasilkan komponen perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir dekat Muar, Johor, semalam.

PAGOH 4 Feb. - Sebuah kilang menghasilkan komponen perabot untuk tujuan eksport kerugian kira-kira RM2 juta apabila dua blok operasinya musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua pekerja kilang berkenaan sempat menyelamatkan diri.

Pemilik kilang berkenaan, Tan Chen Gee, 41, berkata, komponen-komponen perabot dan 20 mesin musnah dalam kebakaran yang disedari pekerjanya di Blok D sebelum merebak ke Blok C.

Chen Gee yang tinggal di Bakri berkata, dia mengetahui kilangnya terbakar kira-kira pukul 9 pagi dan bergegas ke lokasi, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sudah marak di kedua-dua blok berkenaan.

"Kerugian dianggarkan RM2 juta. Kilang ini yang sudah beroperasi tiga tahun lalu mempunyai Blok A,B,C dan D. Blok B turut terbakar tetapi sebahagian sahaja manakala Blok A yang menempatkan produk sudah siap, tidak terjejas.

"Kilang ini yang mempunyai 150 pekerja dan beroperasi 24 jam secara dua syif, baharu dibuka semalam selepas empat hari ditutup sempena Tahun Baharu Cina," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Seorang pekerjanya, Salmiah Sardon, 57, berkata, selepas setengah jam memulakan kerja, dia dan rakannya dikejutkan dengan suara pekerja asing warga Nepal menjerit menyatakan ada kebakaran di bahagian belakang.

Katanya, kesemua pekerja terus menyelamatkan diri apabila siren kecemasan dibunyikan dan berkumpul di depan kilang selain beberapa pekerja cuba memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air yang ada tetapi tidak berhasil.

"Saya menggigil ketakutan dan kami bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri," katanya yang tinggal di Parit Karim, Air Hitam, dekat sini dan sudah enam tahun bekerja di kilang tersebut

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Ismail Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.04 pagi dan 10 anggota dengan dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

Katanya, operasi memadamkan api masih diteruskan sehingga lewat petang ini bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.

"Punca dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Utusan
4 Feb 2014

Maut dalam konvoi berdarah

Keadaaan kereta mangsa yang remuk akibat kemalangan tersebut.

MUAR – Kegembiraan lapan rakan berkonvoi dengan motosikal dari Kampung Sebatu, Jasin, Melaka bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 17, Jalan Bakri, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Muhamad Arif Saliman, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggani mangsa hilang kawalan lalu  memasuki laluan  bertentangan dan merempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios yang datang dari arah Batu Pahat menghala ke Muar.

Rakan mangsa, Samsul Izzwan berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke Masai, Johor Bahru selepas menghabiskan cuti selama empat hari di Melaka.

Menurutnya, mereka bertolak dari Melaka sekitar jam 1.30 petang bersama enam motosikal dengan enam penunggang dan dua pembonceng.

“Mangsa dan adiknya jatuh daripada motosikal, tetapi adik saya, Zulfikar, yang menaiki motosikal lain berlari ke tengah jalan dan sempat menarik Muhamad Hafiz ke tepi jalan kerana di belakangnya terdapat dua lori kontena,” katanya.

Pemandu kereta, Chua Yen Yen, 48, dari Batu Pahat berkata, dia bersama dua anaknya yang dalam perjalanan ke rumah ibu mertua di Sungai Abong, Bakri, hanya cedera ringan tetapi masih trauma.

“Kejadian tersebut berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat mengelak kerana motosikal terbabit masuk ke laluan saya sebelum merempuh bahagian depan kereta kami.

 “Semasa kemalangan, mangsa sedang menunggang secara berkumpulan dan motosikal mangsa berada paling depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
5 Feb 2014