Wednesday, April 20, 2016

Kaunter pandu lalu menyusahkan

Penduduk yang ingin melalui laluan itu juga terpaksa menunggu di belakang kereta pelanggan sehingga mereka selesai membeli makanan.

Keadaan jalan yang sempit menyukarkan penduduk apabila terpaksa berselisih dengan kenderaan pelanggan di kaunter restoran itu.

Pihak berkuasa MPM memberi amaran kepada pengusaha restoran agar mematuhi amaran dan notis yang dikeluarkan supaya menghentikan perkhidmatan kaunter pandu lalu.

MUAR - Penduduk di Lorong Haji Khamis, Jalan Junid, di sini, kecewa apabila perkhidmatan kaunter pandu lalu yang disediakan sebuah restoran menghalang lalu-lintas.

Wakil penduduk, Hussain A Rahman, 58, berkata, restoran yang beroperasi sekitar Mei tahun lalu tidak sepatutnya menyediakan perkhidmatan tersebut kerana dibina di kawasan tidak strategik.

"Kami tak kisah jika hanya restoran yang dibuka, tetapi apabila pengusahanya turut sediakan khidmat pandu lalu, ini membuatkan penduduk di sini berang.

"Rizab restoran sahaja pun agak kecil hingga terpaksa masuk ke laluan penduduk, kemudian dia sediakan pula perkhidmatan pandu lalu sehingga menggunakan laluan utama penduduk keluar masuk," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, disebabkan perkara itu, penduduk terpaksa menghadapi masalah kesesakan lalu-lintas apabila laluan disekat pelanggan yang menunggu di kaunter pandu lalu.

“Sebab dia dah ambil kawasan jalan kami, jadi kami pun terpaksa sama-sama menunggu di belakang kereta pelanggan hingga mereka selesai membeli.

“Jika sebuah sahaja kereta, kami boleh bersabar. Kadangkala sampai empat hingga lima kereta dalam satu masa, tidakkah ia membuang masa kami?” katanya.

Hussain berkata, keadaan bertambah sesak pada waktu malam dan hujung minggu apabila ramai pelanggan beratur di laluan terbabit.

Sementara itu, Faridah Rahmat, 50, pula berkata, kewujudan kaunter pandu lalu itu turut membahayakan keselamatan orang awam kerana keadaan jalan di kawasan terbabit agak sempit.

"Sebelum adanya restoran ini, kami pun sukar gunakan laluan yang kecil ini. Keadaan bertambah sukar bila ada perkhidmatan tersebut.

"Saya sendiri nyaris terlibat dengan kemalangan apabila kereta saya dan kereta pelanggan hampir bertembung. Malah, cermin kereta kami sering bergesel dengan kereta pelanggan," katanya.

Katanya, sikap pelanggan yang tidak bertimbang rasa dengan meletakkan kenderaan sesuka hati juga menimbulkan kemarahan penduduk.

"Mereka tak pernah fikir masalah dihadapi penduduk di sini. Bayangkan dengan laluan sempit, mereka pula tinggalkan kereta di bahu jalan begitu sahaja.

"Saya juga pernah tersekat di laluan berkenaan hampir setengah jam hanya kerana menunggu mereka (pelanggan) selesai makan,” katanya.

Jelasnya lagi, penduduk pernah beberapa kali mengusulkan masalah tersebut dan mahu bertemu dengan pengurus tetapi tidak dilayan.

"Pelbagai alasan diberi dan kami kecewa dengan sikap pengurus yang seharusnya bertanggungjawab dengan perkara itu," katanya.

Wartawan Sinar Harian
20 April 2016

0 comments:

Post a Comment