Bom lama bersaiz14 inci dipercayai tinggalan perang dunia kedua ditemui pekerja pembersihan tengah hari semalam.
Pihak polis mengawal keadaan sekitar bagi menjaga keselamatan orang awam dengan memasang garisan polis bagi mengelak orang ramai memasuki kawasan tersebut.
MUAR - Seorang pekerja pembersihan terkejut menemui sebutir bom lama, disyaki tinggalan Perang Dunia Kedua di sebuah longkang di Jalan Paip, Taman Sri Treh, Jalan Salleh di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Hanif Othman berkata, sewaktu kejadian pekerja lelaki berusia 30-an itu dikatakan sedang memotong rumput sebelum berhenti apabila terlihat sebuah bom di bahagian tepi longkang itu.
"Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan objek berupa bom itu.
"Hasil siasatan mendapati, terdapat sebutir bom lama menyerupai bom mortar sepanjang 14 inci dalam longkang tersebut," katanya kepada pemberita.
Muhammad Hanif berkata, tindakan pantas pemotong rumput itu memaklumkan kepada pihak polis telah berjaya menyelamatkan lebih 1,000 nyawa penduduk.
Menurutnya, ekoran kejadian itu sepasukan anggota dan pegawai dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dipanggil bagi menjalankan siasatan dan sekali gus memusnahkan bom tersebut.
Sementara itu, seorang penduduk, Tan Boon San, 37, berkata, ibunya sebelum ini pernah terlihat dua individu mencurigakan membuang sesuatu di kawasan berkenaan.
"Pada ketika itu, kami tidak mengetahui bahawa barang itu adalah bom sehingga melihat keadaan agak riuh-rendah tengah hari tadi (semalam)," katanya.
Menurutnya, dia sekeluarga berterima kasih kepada polis kerana bertindak pantas mengawal keadaan dan mengalihkan bom berkenaan., yang turut melegakan kira-kira 1,000 penduduk lain di Taman Seri Treh.
Wartawan Sinar Harian
15 April 2016
0 comments:
Post a Comment