REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Friday, May 27, 2011

Wanita ganas

MUAR: Ganas ungkapan tepat menggambarkan seorang wanita warga Vietnam yang terbabit dalam 11 kes pecah kilang termasuk kilang tempatnya bekerja di sekitar daerah ini, sejak awal tahun lalu.

Malah, wanita itu mencari pembeli bagi setiap pasport warga asing lain dicurinya di kilang sebelum ia dijual pada harga borong.

Bagaimanapun, kehebatan wanita terbabit akhirnya terhenti selepas ditahan polis bersama sembilan rakan senegara di sebuah rumah kongsi di Taman Seri Jeram di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, semua suspek terbabit baru saja memecah masuk sebuah kilang sarung tangan berhampiran kediaman terbabit, kira-kira jam 2 pagi hari sama.

“Penahanan suspek yang berusia antara 21 hingga 34 tahun berjaya menyelesaikan 11 kes pecah masuk kilang yang membabitkan kerugian melebihi RM100,000.

“Kami turut menemui semula barangan curi seperti 30 telefon bimbit dan sembilan pasport milik pekerja kilang yang dipecah masuk,” katanya di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Menurut Nasir, pihaknya turut merampas dua komputer riba, seutas gelang tangan emas, tiga utas jam tangan dan wang tunai RM500.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek bekerjasama melakukan jenayah terbabit dan mereka hanya memecah masuk kilang pada jam 12 tengah malam ke atas iaitu ketika kilang tidak beroperasi.

“Kami tidak menolak kemungkinan ada di kalangan suspek pernah bekerja di kilang yang dipecah masuk, siasatan turut mendapati wanita yang ditahan itu teman wanita kepada seorang daripada suspek terbabit.

“Semua suspek direman selama 14 hari bermula semalam dan berakhir pada 8 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro
26 Mei 2011

Thursday, May 26, 2011

RM1,000 raih RM1j

MUAR: Satu sindiket skim cepat kaya dikesan menggunakan individu berpengaruh termasuk pensyarah, imam, guru dan ustaz bagi menarik minat orang ramai menyertai mereka yang menawarkan keuntungan pelaburan tidak munasabah sehingga jutaan ringgit dengan hanya bermodalkan RM1,000.

Pelabur yang menyertai skim ini diberi tempoh selama seminggu dan selepas itu boleh memungut keuntungan pelaburan masing-masing.

Pendedahan ini dilakukan seorang mangsa Zulkifli Atan Surip, 38, yang kerugian kira-kira RM5,000 selepas dua minggu menyertai skim perjanjian mulut ke mulut berkenaan.

Katanya, tiada sebarang resit mahupun dokumen diberikan kepada pelabur selepas membuat bayaran.

“Bagaikan melafaz akad aku janji, termaktub perjanjian pelaburan dan keuntungan dan ia sekadar janji dari mulut ke mulut.

“Penduduk setempat terlalu mudah percaya kerana sindiket terbabit menggunakan individu berpengaruh di satu-satu kawasan untuk memujuk orang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Jawa, semalam.

myMetro
25 Mei 2011

Tuesday, May 24, 2011

Kekalkan kebersihan

MUAR – Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil peranan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang tidak dapat dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan oleh syarikat pengurusan sisa pepejal yang dilantik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Kerja raya dan Kemudahan Awam Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, PBT perlu mengambil alih tugas tersebut dan perbelanjaan itu ditanggung oleh PBT sendiri.

Menurutnya, jika PBT tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan arahan berkenaan, maka PBT boleh berusaha untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri.

“Saya percaya semua PBT di negeri ini begitu realistik mengambil tindakan tersebut dengan sewajarnya,” katanya ketika berucap dalam majlis Penyerahan Sumbangan Peruntukan Perdana Menteri Kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muar, di sini.

Beliau berkata, bagaimanapun Kerajaan Negeri masih lagi tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di kawasan-kawasan perumahan termasuk kerja-kerja pemotongan rumput, pembersihan parit, memperbaiki kemudahan infrastruktur asas dan urusan pelupusan sisa pepejal.

“PBT berhak memilih mana-mana kontraktor yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik dalam kerja-kerja pembersihan kawasan perumahan.

“Ini kerana harapan Kerajaan Negeri adalah untuk memberikan suasana persekitaran kehidupan yang lebih selesa kepada semua penduduk terutamanya dalam kawasan PBT,” katanya.

Ahmad Zahri berkata, beliau percaya setiap PBT telah menubuhkan unit tindakan khas untuk memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Berdasarkan pemerhatian, rata-rata kawasan PBT sudah mempunyai perubahan, tetapi masih ada lagi perubahan yang perlu kita lakukan berkaitan urusan jalan berlubang dan pemotongan rumput juga perlu diberikan perhatian yang lebih,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahri turut menyampaikan peruntukan bernilai lebih RM320,000 kepada tiga NGO di daerah Muar hasil sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang melawat Muar pada 26 Mac lalu.

“Antara NGO yang menerima bantuan ialah Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Awam Maharani, Persatuan Tuan-tuan Punya Kereta Sewa Muar, Pagoh dan Kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Diharapkan dengan bantuan ini membolehkan NGO tersebut mempelbagaikan aktiviti untuk kebaikan kepada ahli NGO terbabit,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Sungai Abong, Dr Haris Saleh; Pengerusi JPMM Maharani Datuk Mohd Ismail Mohd Shah; Pengerusi JPMM Bentayan, Chris Lee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali; Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib; Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM) Mohd Fuad Radzuan.

Sinar Harian
24 Mei 2011

Thursday, May 5, 2011

Rumah peniaga cendol hangus

MUAR - Seorang peniaga cendol tinggal sehelai pinggang apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Hj Yakob, Air Hitam Batu 17 di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.40 pagi berkenaan mula disedari Abd Malik Suparman. 48, selepas terdengar letupan kuat seperti tayar pecah dari dapur rumahnya.

Ketika kejadian, tiga ahli keluarganya termasuk ibu, isteri dan anak berada dalam bilik dan bergegas ke dapur sejurus terdengar letupan berkenaan.

Menurutnya setibanya di dapur terlihat api membakar dapur masaknya dan dia bersama isteri berusaha cuba untuk memadamkan api itu tetapi gagal.

“Memandangkan keadaan api yang cepat marak, saya terpaksa meninggalkan rumah untuk menyelamatkan ibu, isteri dan anak dengan membawa mereka ke surau berhampiran.

“Meskipun sedih kerana rumah pusaka yang berusia lebih 30 tahun ini musnah terbakar tetapi saya bersyukur kerana semula ahli keluarga terselamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Walau bagaimanapun, Abd Malik tetap reda dengan tragedi yang menimpanya sekeluarga.

Difahamkan, Skuad Sayang dan beberapa ahli UMNO Bahagian Bakri turut hadir ke lokasi kejadian serta menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran terbabit.

Ketua Balai Bomba Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6 pagi.

Menurutnya, sebaik menerima menerima panggilan, seramai 11 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, rumah terbabit telah musnah kerana kebakaran cepat merebak disebabkan struktur rumah terbabit secara keseluruhannya diperbuat daripada kayu.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
5 Mei 2011

"Along nak berhenti kerja"

MUAR – “Mak, along nak berhenti kerja,” merupakan kata-kata terakhir Mohamad Shazwan Zainal, 23, kepada ibunya sehari sebelum dia menemui ajal selepas terbabit kemalangan di Jalan Bakri Batu 4, Bakri, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu, Mohamad Shazwan yang menunggang motosikal jenis Modenas Karisma dalam perjalanan pulang berehat dari tempat kerjanya di Bakri Batu 1 ke rumah keluarganya di Bakri Batu 5.

Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian motosikal mangsa dipercayai merempuh belakang lori yang membelok ke dalam kilang berhampiran.

Kedua-dua kenderaan tersebut datang dari arah yang sama iaitu dari Muar menuju ke Bakri.

Akibat rempuhan tersebut, motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan dan mangsa tercampak ke atas jalan raya.

Ibu mangsa, Sarihan Basir, 45, berkata, beliau tidak menyangka hasrat anaknya untuk berhenti kerja menjadi petanda Mohamad Shazwan akan pergi buat selama-lamanya.

Menurutnya, anaknya itu bekerja sambilan di Bakri sebelum menyambung semula pengajian tidak lama lagi.

“Saya sangat terkilan Mohamad Shazwan tidak sempat untuk menghadiri majlis konvokesyennya pada November depan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepada dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

“Pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
5 Mei 2011

Wednesday, May 4, 2011

Bandar pencen elemen klasik Muar


HISTORIOGRAFI bandar Muar yang ditelaah sentiasa menerawang di benak fikiran sehingga terpantul ke dasar mimpi. Penulis juga sentiasa dibayangi dengan ayat yang paling signifikan dalam sebuah naskhah lama yang dibaca.

Pada satu catatan, Muar yang merupakan kota kedua Portugis di Semenanjung Tanah Melayu adalah saksi kepada permulaan keagungan bangsa. Kota itu juga menjadi medan kepada kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka yang cukup masyhur pada zaman silam.

Baris ayat-ayat itu sememangnya mempunyai satu takwil yang cukup besar bagi penulis. Ia telah memberi pemahaman kepada penulis bahawa Muar adalah sebuah bandar yang bukan calang-calang pada suatu ketika dahulu. Tidak keterlaluan juga untuk disimpulkan, kekayaan sejarah Muar setanding dengan Melaka.

Benar, seperti kata tokoh sejarah Melaka, Baharam Azit, Muar atau Teluk Dalam dilingkari dengan gugusan pengkisahan lampau yang perdana.

Muar yang menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Majapahit pada tahun 1350 sememangnya tidak mewariskan sebarang artifak untuk ditatapi.

Namun, selepas Muar menjadi kubu terakhir serangan Jepun dan kemudian dicengkam oleh Inggeris, bandar itu telah meninggalkan banyak warisan yang kekal utuh sehingga kini.

Penulis dan jurufoto, Amin Farij Hasan menganggap Muar bukanlah sebuah bandar biasa. Jujur kami suarakan, aura zaman kolonial Inggeris di bandar yang pernah dihikayatkan dalam Suma Oriental masih segar menyapa.

Opera kehidupan khalayak Muar juga jauh berbeza dengan kota raya Kuala Lumpur. Masyarakat Muar bercitra tinggi. Semangat mereka memelihara apresiasi seni warisan jelas menunjukkan kesungguhan untuk memberitahu dunia bahawa Muar pernah makmur pada era silam.

Seni bina klasik

Tidak hairanlah jika bandar diraja di selatan Johor itu digelar bandar pencen. Atas faktor itulah, Muar berjaya memukau pandangan si pengembara. Melintasi Jambatan Sultan Ismail, anda seolah-olah berada di ‘dunia’ lain.

Seperti kata seorang anak jati Muar, Salleh Minhat, 62, bandar itu sesungguhnya tewas dalam usaha mendirikan bangunan pencakar langit.

“Namun, Muar telah menjalankan tugas yang paling sukar iaitu mengekalkan seni reka bangunan yang dibangunkan sebelum Perang Dunia Kedua. Malah, di merata ceruk, banyak ejaan bahasa Melayu lama masih dikekalkan oleh si empunya premis,” katanya ketika bersembang bersama penulis baru-baru ini.

Kata lelaki itu lagi, wilayah bandar Muar juga unik kerana ia dikelilingi bangunan yang berciri klasik.

“Sama ada anda berada di Jalan Abdullah, Jalan Maharani, Jalan Sisi hinggalah ke Jalan Petrie, pasti terselit dua tiga buah kedai yang kebanyakannya menjual barang dapur kuno.

MONUMEN yang terletak di tengah-tengah bandar ini mengalu-alukan kehadiran pelancong.

“Terdapat juga bangunan kedai yang berunsur pascakolonial seperti bangunan Hotel Embassy,” ujarnya bangga.

Selain itu, masih terdapat tulisan Cina yang dilukis dengan menggunakan cat merah pada tiang sebesar kayu balak.

Namun, yang paling mencuri tumpuan lensa pelancong ialah Bangunan Kastam. Bangunan itu siap dibina pada tahun 1909 ketika Muar menjadi satu-satunya bandar yang mempunyai landasan kereta api.

Jalan Petrie mungkin layak dilabelkan sebagai lorong bersejarah. Kawasan tersebut membariskan bangunan seperti Mahkamah Tinggi Muar yang berusia 126 tahun dan mempunyai sentuhan neoklasik.

Pejabat Tanah Muar (dulu Bangunan Sultan Abu Bakar) yang terletak bersebelahan juga mempunyai elemen sejarah yang tidak terperi. Begitu juga dengan Sekolah Tinggi Muar yang dibina dalam tahun 1914 dan Balai Polis Cawangan Trafik.

Berjalan kaki mungkin cara terbaik untuk menghayati keindahan dan sejarah yang terpatri di Muar. Jika tidak, para pengembara barangkali gagal menemui hotel-hotel lama seperti Hotel Federal, Hotel Embassy dan Hotel Paris. Premis-premis itu bagaimanapun hanya tinggal nama sahaja.

Kopi Muar

Barangkali ramai yang bersetuju dengan penulis bahawa tidak lengkap rasanya jika tidak menikmati secawan kopi di Jalan Maharani. Bukan setakat rekaan dan susun atur kedainya yang unik, bahkan aroma kopinya mampu mententeramkan gelodak jiwa.

“Kata orang, apabila minum kopi di Muar ibarat mengembalikan nostalgia zaman 60-an kerana corak hidangannya tidak berubah sejak dulu,” kata Kiar Cher Yong, 26, pewaris jenama Kopi 434.

Di kala senja, ziarah terhenti seketika di Masjid Jamek Sultan Ibrahim. Papan tanda masjid masih mengekalkan ejaan lama. Percikan cahaya lampu neon melambai kami untuk singgah sebentar.

Rumah Allah yang dibina pada tahun 1927 itu mempunyai pengaruh Inggeris. Bumbung bangunan utama merupakan bumbung limas beratapkan genting lama. Menariknya tentang masjid yang terletak di tebing Sungai Muar ini, terdapat menara empat tingkat yang mempunyai kontur dan reka corak yang unik.

Mercu tanda terbaru di Bandar Maharani ini ialah Masjid Jamek Sultan Ismail yang didirikan betul-betul di utara tebing Sungai Muar. Pelan arkiteknya persis kepada Masjid Jamek Sultan Ibrahim.

Jika posisi kedudukan anda dari bandar Muar atau dari Jambatan Sultan Ismail, lokasi penyatuan ummah itu dilihat seakan-akan terapung di atas sebatang sungai.

Untuk menikmati panorama masjid atau rutin aktiviti komoditi masyarakat Muar, apa kata anda menaiki bot menyusuri Sungai Muar yang memakan masa lebih kurang sejam.

MASJID Jamek Sultan Ismail yang mempunyai pengaruh Inggeris antara tarikan di Muar.

Dalam lipatan sejarah tertulis akan keunggulan Muar. Bandar itu satu-satunya bandar di negara ini yang mempunyai sistem kereta apinya sendiri yang ditubuhkan pada tahun 1889 dan berakhir pada tahun 1925. Ia menghubungkan Jalan Sulaiman dan Sungai Pulai sejauh 22.5 kilometer (km).

Pencapaian itu dikatakan sungguh luar biasa memandangkan tiada satu bandar pun di Malaya pada ketika itu mengimplemenkan idea yang sedemikian.

Memetik kenyataan dalam beberapa rujukan, pihak pentadbiran Keretapi Kerajaan Muar (MSR) mempunyai perancangan untuk memanjangkan landasan kereta api hingga ke Batu Pahat. Bagaimanapun, impian itu tidak kesampaian ekoran halangan geografi dan kewangan.

Kesan landasan kereta api telah hilang selepas tapaknya digantikan dengan pembinaan Jalan Temenggung Ahmad. Bagi membuktikan cerita tentang kewujudan MSR bukan dongengan, lokomotif MSR yang diiktiraf tertua di Malaysia kini dipamerkan di Taman Tanjung Emas.

Kata seorang pengunjung ketika berbual bersama penulis, Haseena Seelan, 29 : “Saya teruja melihat Muar lebih hebat daripada mana-mana negeri di Malaysia kerana ia memiliki segala-galanya sejak dulu lagi.”

Khazanah berharga

Hari terakhir di Muar, kami mengalihkan stereng menuju ke Kolam Air Panas Sungai Gersik yang terletak di Kampung Sungai Gersik, Mukim Sungai Balang. Lokasi itu kira-kira 30 km dari bandar Muar.

Kolam Air Panas Sungai Gersik merupakan satu-satunya lokasi air panas semulajadi yang kini dikomersialkan. Terpercik perasaan gerun tatkala dikisahkan tentang peristiwa ganjil di kolam berkenaan. Namun kolam yang ditemui oleh seorang penduduk kampung yang bernama Abd. Rahman Harshad pada tahun 1911 merupakan khazanah yang tidak ternilai untuk bandar Muar.

Penerokaan sejarah di bandar Maharani semakin bermakna apabila berpeluang melawati Makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Kampung Raja, Pagoh. Almarhumah permaisuri Sultan Alauddin juga dimakamkan bersebelahan dengan makam baginda. Batu nisan kedua-duanya dipercayai ditempah khas dari Acheh dan diukir dengan kalimah al-Quran. Kawasan makam dikawal rapi oleh penduduk kampung dan pihak berwajib bagi mengelakkan aktiviti pemujaan di makam itu.

Meskipun Muar dibaluti dengan kepadatan sejarah, bandar pencen itu turut membangun selari dengan arus kemodenan. Program mengindahkan pesisir pantai dan pembukaan penempatan baru yang lebih moden telah memesatkan pembangunan bandar itu.

Seperti kata seorang anak jati Muar, Mohd. Zamani Abdullah, 75 : “Kita telah membangun tapi kita sedikit pun tidak jejaskan elemen-elemen klasik yang di tinggalkan oleh nenek moyang dan penjajah kita. Orang Muar harus berbangga kerana bandar ini sebenarnya telah menyimpan banyak peristiwa sejarah walaupun tiada bukti arkeologi yang mengesahkannya.”

Kosmo
4 Mei 2011

Monday, May 2, 2011

Pekebun maut terkena tembakan

MUAR 1 Mei – Hajat seorang pekebun untuk memburu babi hutan tidak kesampaian apabila dia maut terkena tembakan dari senapang miliknya di sebuah kebun kelapa sawit di Parit Yono, Air Hitam, di sini hari ini.

Ketika ditemui rakannya kira-kira pukul 4 petang, mangsa, Tan Soo Meng, 47, masih bernyawa tetapi disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Menurut rakan mangsa yang ingin dikenali sebagai Mohamad, 40, dia terdengar sahutan meminta pertolongan ketika dalam perjalanan ke kebun sawitnya.

“Saya nampak motosikal ‘Ah Meng’ berhampiran kebun dan memanggil namanya berulang kali kerana tahu dia selalu berburu babi hutan di kawasan itu.

“Saya kemudian mencari dan menemui Ah Meng terbaring dalam keadaan mukanya berlumuran darah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dia bersama seorang lagi rakannya bergegas menghantar mangsa ke hospital, namun sebaik sahaja tiba di HPSF, mangsa disahkan telah meninggal dunia.

Katanya, dia mengenali mangsa kerana sering berburu babi hutan di kawasan kebun kelapa sawit di situ sama ada bersendirian atau bersama rakannya.

Menurut isteri mangsa yang enggan dikenali, suaminya keluar dari rumah mereka di Taman Pagoh Jaya untuk berburu pada pukul 2.30 petang.

“Namun, saya tidak tahu sama ada dia pergi seorang diri atau bersama rakan. Saya hanya dapat tahu apabila menerima panggilan daripada seorang saudara bahawa suami meninggal dunia di hospital kira-kira pukul 5 petang.

Utusan
2 Mei 2011


Pemburu mengaku tertembak rakan direman tujuh hari

MUAR: Misteri kematian seorang pemburu babi hutan akhirnya terjawab, apabila rakannya sendiri mengaku tertembak mangsa ketika bersama berburu di kawasan kebun kelapa sawit Parit Yono dekat Air Hitam di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, Tan Soo Meng, 47, yang juga seorang pekebun, meninggal dunia dengan kesan tembakan di mata kiri tetapi rakannya mendakwa mangsa tertembak diri sendiri ketika berburu.

Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sejurus terkena tembakan untuk mendapat rawatan tetapi disahkan sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata pada mulanya suspek mendakwa mangsa tertembak diri sendiri disebabkan bimbang tindakan polis tetapi ketika soal siasat, lelaki berusia 38 tahun itu mengaku tertembak rakannya ketika berburu di kawasan sama.

Katanya, susulan pengakuan itu, lelaki terbabit kini ditahan reman tujuh hari hingga 8 Mei ini bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.

“Mungkin kerana terlalu takut, suspek pada mulanya tidak mengaku tertembak mangsa, sebaliknya mendakwa rakannya itu tertembak diri sendiri tetapi selepas soal siasat, dia mengaku melepaskan tembakan terhadap kelibat babi hutan sebelum mendengar suara rakannya meminta tolong kerana kesakitan,'' katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Mohamed Nasir berkata, mangsa dan suspek adalah rakan baik dan sering keluar berburu bersama sejak kira-kira 10 tahun lalu, malah mempunyai lesen senjata api yang sah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa terlebih dulu memasuki kawasan kebun kelapa sawit untuk berburu babi hutan kira-kira jam 2.30 petang dan suspek memasuki kawasan itu kira-kira dua jam kemudian berikutan perlu menghadiri dua majlis kenduri kahwin.

“Suspek mendakwa melepaskan tembakan kerana mengesan pergerakan seolah-olah babi hutan tanpa menyedari mangsa berada di kawasan itu sebelum terkena tembakan itu," katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan tetapi setakat ini, polis tidak menemui sebarang bukti menunjukkan suspek melepaskan tembakan dengan niat mencederakan rakannya.

Mohamad Nasir menasihatkan orang ramai yang memiliki senjata dan lesen berburu yang sah supaya tidak melepaskan tembakan sewenang-wenangnya terutama di kawasan sukar dilihat bagi mengelak kejadian tidak diingini. 

Berita Harian
3 Mei 2011