Tuesday, May 24, 2011

Kekalkan kebersihan

MUAR – Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil peranan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang tidak dapat dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan oleh syarikat pengurusan sisa pepejal yang dilantik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Kerja raya dan Kemudahan Awam Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, PBT perlu mengambil alih tugas tersebut dan perbelanjaan itu ditanggung oleh PBT sendiri.

Menurutnya, jika PBT tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan arahan berkenaan, maka PBT boleh berusaha untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri.

“Saya percaya semua PBT di negeri ini begitu realistik mengambil tindakan tersebut dengan sewajarnya,” katanya ketika berucap dalam majlis Penyerahan Sumbangan Peruntukan Perdana Menteri Kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muar, di sini.

Beliau berkata, bagaimanapun Kerajaan Negeri masih lagi tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di kawasan-kawasan perumahan termasuk kerja-kerja pemotongan rumput, pembersihan parit, memperbaiki kemudahan infrastruktur asas dan urusan pelupusan sisa pepejal.

“PBT berhak memilih mana-mana kontraktor yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik dalam kerja-kerja pembersihan kawasan perumahan.

“Ini kerana harapan Kerajaan Negeri adalah untuk memberikan suasana persekitaran kehidupan yang lebih selesa kepada semua penduduk terutamanya dalam kawasan PBT,” katanya.

Ahmad Zahri berkata, beliau percaya setiap PBT telah menubuhkan unit tindakan khas untuk memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Berdasarkan pemerhatian, rata-rata kawasan PBT sudah mempunyai perubahan, tetapi masih ada lagi perubahan yang perlu kita lakukan berkaitan urusan jalan berlubang dan pemotongan rumput juga perlu diberikan perhatian yang lebih,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahri turut menyampaikan peruntukan bernilai lebih RM320,000 kepada tiga NGO di daerah Muar hasil sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang melawat Muar pada 26 Mac lalu.

“Antara NGO yang menerima bantuan ialah Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Awam Maharani, Persatuan Tuan-tuan Punya Kereta Sewa Muar, Pagoh dan Kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Diharapkan dengan bantuan ini membolehkan NGO tersebut mempelbagaikan aktiviti untuk kebaikan kepada ahli NGO terbabit,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Sungai Abong, Dr Haris Saleh; Pengerusi JPMM Maharani Datuk Mohd Ismail Mohd Shah; Pengerusi JPMM Bentayan, Chris Lee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali; Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib; Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM) Mohd Fuad Radzuan.

Sinar Harian
24 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment