Thursday, May 5, 2011

Rumah peniaga cendol hangus

MUAR - Seorang peniaga cendol tinggal sehelai pinggang apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Hj Yakob, Air Hitam Batu 17 di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.40 pagi berkenaan mula disedari Abd Malik Suparman. 48, selepas terdengar letupan kuat seperti tayar pecah dari dapur rumahnya.

Ketika kejadian, tiga ahli keluarganya termasuk ibu, isteri dan anak berada dalam bilik dan bergegas ke dapur sejurus terdengar letupan berkenaan.

Menurutnya setibanya di dapur terlihat api membakar dapur masaknya dan dia bersama isteri berusaha cuba untuk memadamkan api itu tetapi gagal.

“Memandangkan keadaan api yang cepat marak, saya terpaksa meninggalkan rumah untuk menyelamatkan ibu, isteri dan anak dengan membawa mereka ke surau berhampiran.

“Meskipun sedih kerana rumah pusaka yang berusia lebih 30 tahun ini musnah terbakar tetapi saya bersyukur kerana semula ahli keluarga terselamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Walau bagaimanapun, Abd Malik tetap reda dengan tragedi yang menimpanya sekeluarga.

Difahamkan, Skuad Sayang dan beberapa ahli UMNO Bahagian Bakri turut hadir ke lokasi kejadian serta menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran terbabit.

Ketua Balai Bomba Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6 pagi.

Menurutnya, sebaik menerima menerima panggilan, seramai 11 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, rumah terbabit telah musnah kerana kebakaran cepat merebak disebabkan struktur rumah terbabit secara keseluruhannya diperbuat daripada kayu.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
5 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment