Friday, May 27, 2011

Wanita ganas

MUAR: Ganas ungkapan tepat menggambarkan seorang wanita warga Vietnam yang terbabit dalam 11 kes pecah kilang termasuk kilang tempatnya bekerja di sekitar daerah ini, sejak awal tahun lalu.

Malah, wanita itu mencari pembeli bagi setiap pasport warga asing lain dicurinya di kilang sebelum ia dijual pada harga borong.

Bagaimanapun, kehebatan wanita terbabit akhirnya terhenti selepas ditahan polis bersama sembilan rakan senegara di sebuah rumah kongsi di Taman Seri Jeram di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, semua suspek terbabit baru saja memecah masuk sebuah kilang sarung tangan berhampiran kediaman terbabit, kira-kira jam 2 pagi hari sama.

“Penahanan suspek yang berusia antara 21 hingga 34 tahun berjaya menyelesaikan 11 kes pecah masuk kilang yang membabitkan kerugian melebihi RM100,000.

“Kami turut menemui semula barangan curi seperti 30 telefon bimbit dan sembilan pasport milik pekerja kilang yang dipecah masuk,” katanya di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Menurut Nasir, pihaknya turut merampas dua komputer riba, seutas gelang tangan emas, tiga utas jam tangan dan wang tunai RM500.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek bekerjasama melakukan jenayah terbabit dan mereka hanya memecah masuk kilang pada jam 12 tengah malam ke atas iaitu ketika kilang tidak beroperasi.

“Kami tidak menolak kemungkinan ada di kalangan suspek pernah bekerja di kilang yang dipecah masuk, siasatan turut mendapati wanita yang ditahan itu teman wanita kepada seorang daripada suspek terbabit.

“Semua suspek direman selama 14 hari bermula semalam dan berakhir pada 8 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro
26 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment