REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Sunday, August 28, 2011

Murid mengadu sakit perut

MUAR – Hampir 120 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chin Kwang Wahyu, Parit Jawa di sini, mengadu sakit perut dipercayai selepas minum susu yang dibekalkan di sekolah berkenaan.

Murid-murid tahun satu hingga enam menerima rawatan segera daripada pasukan kesihatan dari Klinik Kesihatan Parit Jawa yang bergegas ke sekolah itu sebaik sahaja menerima laporan.

Manakala, sebahagiannya dihantar ke Klinik Parit Jawa sebaik sahaja mengalami simptom keracunan makanan, semalam.

Guru Besar sekolah berkenaan, Chong Guat Yen berkata, sekolah itu terpaksa ditutup awal bagi membolehkan ibu bapa mengambil anak mereka yang tidak menunjukkan simptom itu di rumah.

Menurutnya, insiden berkenaan mula berlaku pada petang Khamis apabila kira-kira 16 murid mengadu sakit perut dan terpaksa masuk ke tandas berulang kali.

“Kami fikir keadaan ini tidak serius tetapi pada hari ini (semalam), pada kira-kira jam 7 pagi, seramai 113 murid lain pula menunjukkan simptom gejala ini dan kami segera menghubungi Pejabat Kesihatan Muar.

“Ahli jawatankuasa sekolah mengambil langkah berwaspada dan mengambil keputusan untuk menutup segera sekolah ini kerana bimbang wabak ini merebak kepada murid-murid lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Guet Yen berkata, pegawai kesihatan juga memutuskan untuk menempatkan sebuah ambulan di sekolah itu bagi memudahkan memberikan rawatan segera kepada mereka yang sakit.

“Kira-kira 70 murid-murid telah dirawat di sekolah, manakala 30 yang lain dikejarkan ke Klinik Kesihatan Parit Jawa untuk rawatan lanjut.

“Pasukan kesihatan telah mengambil beberapa sampel susu untuk pemeriksaan bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada susu ataupun sebaliknya dan Pejabat Kesihatan Muar akan menyiasat insiden ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Si Boon Chong berkata, anak perempuannya, Si Boon Hui, tahun lima mengadu sakit perut sebaik tiba di sekolah, pagi tadi.

“Boon Hui adalah anak yang kuat tetapi kerana disebabkan cirit-birit dan terlalu kerap masuk tandas, dia telah menjadi lemah,” katanya.

Sinar Harian
27 Ogos 2011

Friday, August 19, 2011

120 bakal penuntut terima wang pendahuluan

MUAR 18 Ogos - Seramai 120 bakal mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari seluruh kawasan Parlimen Muar diraikan dalam majlis penyerahan Wang Pendahuluan Diri (WPD) dan majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Al-Ikhsan, Parit Jawa, di sini semalam.

Majlis penyampaian WPD daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang bernilai RM1,500 kepada setiap mahasiswa itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Muar serta Rangkaian Anak Muar (RAM) itu merupakan sebahagian usaha untuk meringankan beban bakal mahasiswa dalam persiapan melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Razali berharap, mahasiswa dan mahasiswi dari Parlimen Muar akan mengekalkan budaya kecemerlangan dan berjaya menempa kejayaan pada masa hadapan kerana kerajaan menitikberatkan soal pendidikan dan tidak wajar untuk mereka terbabit dengan mana-mana aktiviti tidak sihat.

"Menerusi program ini juga, para mahasiswa dapat mengeratkan hubungan dengan para penduduk dan selepas empat tahun melanjutkan pengajian, saya berharap mereka dapat kembali menabur bakti di Parlimen Muar dan daerah Muar," katanya.

Beliau berucap pada majlis berkenaan di pekarangan Masjid Jamek Al-Ikhsan, Parit Jawa, di sini semalam.

Hadir sama pada program yang turut melibatkan ceramah motivasi kepada para mahasiswa tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Inovasi dan Penyelidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rahmad Mohamed.

Terdahulu, sebelum majlis berkenaan, Razali turut menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan di Masjid Jamek Al-Ikhsan, Parit Jawa, di samping beramah mesra dengan penduduk.

Utusan
19 Ogos 2011

Wednesday, August 17, 2011

3 remaja dilarang keluar rumah

MUAR: Tiga remaja semalam dikenakan perintah berkurung dalam rumah pada waktu malam dengan bon berkelakuan baik selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah membakar dua surau di pinggir bandar ini dalam kejadian Januari tahun lalu.

Selain masing-masing didenda RM1,000 atau sebulan penjara bagi setiap pertuduhan disabitkan, mereka dilarang keluar rumah mulai jam 8 malam hingga jam 6 pagi kecuali dengan kebenaran bertulis Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain perlu bersama ibu bapa masing-masing menghadiri bengkel interaktif kendalian JKM.

Berdasarkan pertuduhan, tiga juvana iaitu dua berusia 17 tahun dan seorang lagi berusia 16 tahun didakwa secara bersama melakukan khianat menggunakan api dengan niat memusnahkan Surau Parit Beting di Jalan Salleh, antara jam kira-kira 12.30 hingga 1 pagi pada 21 Januari tahun lalu.

Mereka juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Surau Silatulrahim di Jalan Ismail, antara kira-kira jam 2 hingga jam 3.15 pagi pada tarikh sama.

Bagi dua kesalahan terbabit, mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda.

Seorang daripada remaja berusia 17 tahun itu juga didakwa memberi maklumat palsu secara bertulis melalui laporan polis di Pejabat Pertanyaan Ibu Pejabat Polis Daerah Muar pada jam 3.54 pagi hari sama.

Remaja terbabit didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes dikemukakan kepada mahkamah, tiga remaja terbabit ditahan polis kira-kira jam 6.10 petang 22 Januari, selepas mendapati laporan dibuat seorang daripada mereka berhubung kebakaran surau itu mencurigakan sebelum siasatan lanjut mendapati mereka yang mendalangi kejadian itu.

Susulan tangkapan itu, polis turut menyita sebuah kereta digunakan mereka ketika melakukan jenayah itu dan polis turut merampas botol berisi petrol.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar, di depan Majistret Noorfarhana Mohd Sharif, manakala tiga tertuduh itu diwakili peguam bela Maryam Hasan dan G F Nielsen.

Ketiga-tiga tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun mengikut Seksyen 91(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jumlah bon RM5,000 tanpa cagaran.

Berita Harian
17 Ogos 2011

Tuesday, August 16, 2011

Rakyat miskin perlu pembelaan

MUAR 15 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memberi fokus pada usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah di negara ini bagi menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat.

Jelas beliau, kerajaan komited untuk membantu golongan terbabit agar tiada pihak yang tercicir daripada arus pembangunan negara yang kian rancak dengan program transformasi yang dilaksanakan.

Katanya, golongan miskin dan mudah miskin di negara ini memerlukan pembelaan dan usaha akan dilakukan untuk mengelakkan masalah inflasi dan kenaikan harga barang menjuruskan golongan tersebut ke dalam kelompok miskin tegar.

“Golongan miskin ini mungkin pendapatan mereka sekitar RM1,500 tetapi selepas membayar sewa rumah, kena bayar kenderaan dan pengangkutan, bayar sekolah anak-anak, ia tidak cukup untuk tanggungan keluarga dan mereka balik tiada simpanan.

“Mereka perlu bantuan dan kita hendak fokus kepada golongan ini sebab golongan ini lebih besar daripada golongan miskin tegar yang kita sudah pun hampir selesai membantu,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak di Masjid Bukit Treh di sini hari ini.

Dalam program yang mendapat kerjasama AmIslamic Bank Bhd. (AmIslamic) itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan kepada golongan anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal di DUN Jorak.

Menurut Muhyiddin, agenda kerajaan untuk membasmi kemiskinan telah dilakukan dengan serius dan perangkaan turut dibuat bagi mengenal pasti golongan miskin, mudah miskin dan miskin tegar di negara ini.

Jelasnya, kelompok miskin tegar seramai 43,000 keluarga yang dicatatkan sebelum tahun 2010 telah pun mendapat pembelaan sewajarnya dan mereka perlu dibantu dalam pelbagai bentuk termasuk bantuan makanan keperluan, bantuan kewangan dan latihan keusahawanan serta kemahiran untuk meningkatkan pendapatan.

“Usaha sebegini adalah untuk menentukan proses pembangunan negara dapat berjalan pesat sejak kita merdeka, jangan ada rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang tertinggal daripada arus pembangunan dan hidup melarat.

“Zaman papa kedana sepatutnya telah berlalu pada zaman penjajah yang mana kita merempat walaupun di negara kita sendiri,” katanya.

Katanya, kerajaan sedar mengenai masalah kos kehidupan yang semakin meningkat namun isu tersebut bukan isu tempatan kerana di peringkat global, masalah kenaikan harga barang dan harga minyak turut berlaku di negara lain.


Muhyiddin kunjungi bazar Ramadan


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa untuk bertemu orang ramai dengan melawat Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Muar (MPM) di pekarangan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar semalam.

Hampir semua gerai di bazar tersebut dikunjunginya di samping beramah mesra dengan para peniaga dan orang ramai yang hadir membeli juadah berbuka puasa.

Dalam kunjungan kira-kira 20 minit itu, beliau turut mengagihkan sumbangan beg barangan daripada AmBank Berhad kepada para peniaga dan orang ramai di Bazar Ramadan tersebut.

Turut sama mengiringi beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat; ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Pengarah Urusan Perbankan Runcit Ambank Berhad, Datuk Mohamed Azmi Mahmood serta pengurusan kanan daripada AmBank Berhad dan AmIslamic Bank Berhad.

Utusan
16 Ogos 2011

Friday, August 12, 2011

Ingin miliki rumah sendiri

MUAR – Tragedi terjatuh semasa bertugas sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah pangsapuri di bandar ini nyata telah mengubah seluruh kehidupan seorang warga emas.

Peristiwa hampir dua tahun lalu itu, menyebabkan Selamat Seman, 74, lumpuh dan hanya mampu duduk di kerusi roda.

Bukan itu sahaja, peristiwa itu juga turut meragut kebahagiaannya dan terpaksa hidup dalam kesempitan kerana :kehilangan punca pendapatan.

Kini, Selamat hanya bergantung pendapatan sebanyak RM300 sebulan hasil bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak dua tahun, lalu.

Bagaimanapun, bantuan bulanan yang diterimanya itu tidak konsisten, kadang-kala menyebabkan kehidupannya semakin dihimpit kesempitan.

“Saya juga tidak menerima sebarang pampasan selepas insiden yang berlaku di tempat kerja, jika tidak kehidupan saya sekeluarga tidak seteruk ini.

“Bantuan RM300 sebulan juga tidak mencukupi kerana perlu menjelaskan bayaran rumah sewa RM150 dan keperluan lain termasuk ubat-ubatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Selamat berkata, kadang kala, kehidupan dia bersama isteri Aminah Mohamad, 64, tidak ubah kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang kerana tidak mempunyai wang untuk membeli beras berikutan kelewatan menerima wang bantuan.

“Memang sedih, dulu masa sihat kehidupan saya tidak susah seperti ini dan sering kali juga menitiskan air mata apabila mengenangkan nasib keluarga,” katanya.

Meskipun dihimpit kemiskinan, namun terpalit juga sedikit kegembiraan di hatinya kerana memiliki tempat untuk berteduh.

“Rumah sewa yang dibina di atas tanah milik orang lain ini menjadi tempat berteduh saya dan isteri serta tiga anak sejak 18 tahun lalu di No 37, Lorong Sepakat, Jalan Khalidi.

“Saya pindah menyewa rumah ini kerana tiada tempat tinggal selepas tuan rumah sewa yang lama mengambil semula rumah untuk ahli keluarganya,” katanya.

Pada ketika itu, dia dan anak-anak terpaksa merayau mencari rumah dan bersyukur apabila menemui rumah yang mereka duduki kini.

“Keadaan rumah ini yang berusia lebih 50 tahun semakin uzur dan :mengalami banyak kerosakan termasuk bumbung bocor.

“Setiap kali hujan lebat sebahagian rumah akan basah terkena air hujan dan halaman rumah juga banjir kerana tiada sistem perparitan,” katanya.

Namun, pada usia sebegini yang masih belum memiliki rumah sendiri turut merunsingkan dirinya kerana memikirkan nasib keluarganya jika dia meninggal dunia.

“Saya tidak mahu keluarga merempat tiada tempat kediaman dan terpaksa mengemis semata-mata mencari tempat berteduh.” katanya.

Pelbagai kemungkinan boleh terjadi jika tuan tanah menuntut semula tanah ini untuk tujuan lain.

“Persoalan ini sering membelenggu fikiran saya dan tidak tahu bila masalah ini akan berakhir,” katanya.

“Hendak memohon bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), saya tidak layak kerana tidak memiliki tanah sendiri seperti syarat yang ditetapkan,” katanya.

Justeru dia berharap ada insan yang prihatin dengan nasibnya dan bermurah hati membantu untuk mendapatkan rumah sendiri.

Sinar Harian
12 Ogos 2011

Thursday, August 11, 2011

Minta keluarga tuntut mayat

MUAR – Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) mencari ahli keluarga atau waris kepada seorang lelaki untuk menuntut mayatnya bagi proses pengebumian.

Chan Teong Aun, 51, dilaporkan meninggal dunia pada 2 Ogos lalu, tetapi sehingga kini tiada seorang waris tampil menuntut mayat di HPSF.

Jurucakap HPSF berkata, Teong Aun dimasukkan ke hospital pada Julai lalu kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.

Bagaimanapun, keadaan Teong Aun semakin tenat dan disahkan meninggal dunia di HPSF pada 2 Ogos lalu kira-kira jam 3.55 petang akibat jangkitan bakteria pulmonary.

“Alamat terakhir Teong Aun berdasarkan kad pengenalan diri ialah di No 314-A, Jalan Perak Off, Jalan Chemor, 11600 Georgetown, Pulau Pinang.

“Oleh kerana tiada waris yang tampil membuat tuntutan mendorong pihak hospital menyimpan mayat di bilik mayat hospital sejak lapan hari lalu,” katanya kepada :Sinar Harian.

Beliau berkata, pihak hospital tidak dapat mengenal pasti individu yang menghantar mangsa ke sini untuk mendapatkan rawatan.

“Sebaik mangsa meninggal dunia pihak hospital ada cuba menghubungi keluarga mangsa, namun menemui jalan buntu.

“Sebolehnya kami mahu keluarga mangsa ataupun kenalan tampil menuntut mayat supaya dapat dikebumikan mengikut adat agama yang dianuti,” katanya.

Menurutnya, sekiranya dalam tempoh lima hari akan datang masih tiada waris yang menuntut, maka pihak hospital bertanggungjawab untuk melaksanakan pengebumian tersebut.

Oleh yang demikian, pihak hospital berharap agar waris mangsa segera tampil menuntut mayat di HPSF atau hubungi talian 06-952 1901.

Sinar Harian
11 Ogos 2011

Wednesday, August 10, 2011

Van rempuh surau

MUAR – Seorang lelaki berusia 40-an nyaris maut apabila van yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah surau di Parit Besar, Jalan Abdul Rahman di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, surau tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian tembok hadapan.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila van berkenaan hilang kawalan selepas melanggar belakang sebuah kereta daripada arah yang sama dari Muar menghala ke Parit Jawa.

Bagaimanapun pemandu van berkenaan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, mangsa, Hayani Halim, 41, yang merupakan seorang guru berkata, semasa kejadian dia berhenti seketika di persimpangan jalan tersebut untuk membelok ke rumah di Lorong Maisarah, Parit Besar, Jalan Abdul Rahman.

Menurutnya, belum sempat dia membelok di persimpangan berkenaan secara tiba-tiba belakang keretanya dirempuh kuat oleh sebuah van dari arah belakang.

“Akibat rempuhan ini kereta saya terbabas dan memasuki laluan arah bertentangan.

“Saya dalam perjalanan pulang dari sekolah bersama anak, Adam Nazhan Mohd Ali, 7,” katanya yang bersyukur terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, Hayani yang masih trauma dengan insiden yang berlaku berkata, dia sangat bersyukur kerana semasa kejadian seorang lagi anaknya yang masih bayi tiada bersama dengannya kerana belum diambil pulang dari rumah pengasuh.

Sinar Harian
10 Ogos 2011

Friday, August 5, 2011

Cuaca panas bukan penghalang

MUAR - Menjadi kelaziman setiap kali tiba bulan puasa, bazar Ramadan pasti sesak apabila menjadi tumpuan umat Islam membeli pelbagai juadah berbuka puasa.

Di Muar, Bazar Ramadan di Dewan Jubli Intan merupakan antara lokasi paling popular penduduk untuk mencari pelbagai menu juadah berbuka puasa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat lebih 40 gerai di bazar tersebut yang menjual pelbagai menu termasuk menu istimewa dari Kelantan iaitu nasi kerabu.

Sejak hari pertama umat Islam di negara ini menyambut Ramadan, bazar itu penuh sesak dengan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa.

Walaupun cuaca panas terik, ia tidak menghalang orang ramai terus berpusu-pusu melihat pelbagai jenis juadah yang dijual oleh peniaga.

Bazar Dewan Jubli Intan sememangnya cukup terkenal dalam kalangan penduduk di sini seperti tidak sempurna jika tidak menjejakkan kaki di sini.

Pelbagai jenis lauk-pauk masakan tradisional, kuih muih, minuman panas dan sejuk dijual sepanjang tapak bazar disediakan setiap tahun.

Antara juadah menarik yang dijual adalah nasi ayam, nasi beriani, ayam percik, nasi lemak ayam berempah, murtabak, rojak, kuih-muih dan ikan bakar.

Lebih menariknya, bazar tersebut turut menjadi tumpuan orang bukan Islam yang datang untuk mengambil kesempatan membeli pelbagai juadah kegemaran mereka.

Pengunjung, Mohd Azman Suib, 45, berkata, sebaik pulang dari tempat kerja dia akan bergegas ke bazar tersebut kerana terdapat pelbagai jenis juadah yang menarik dan unik yang jarang ditemui pada hari biasa.

Menurutnya, tambahan pula bazar berkenaan juga terletak berhampiran dengan tempat kerjanya dah lebih memudahkannya untuk mencari pilihan makanan dengan cepat dan mudah.

“Setiap kali berkunjung ke bazar itu, saya tidak ketinggalan untuk membeli air katira yang dianggap sebagai minuman wajib sesi keluarga ketika berbuka puasa.

“Anak-anak saya pula sangat menggemari juadah Ayam Madu Serawak di sini yang dianggap begitu istimewa berbanding ayam madu yang lain,” katanya.

Sinar Harian
5 Ogos 2011