Friday, August 5, 2011

Cuaca panas bukan penghalang

MUAR - Menjadi kelaziman setiap kali tiba bulan puasa, bazar Ramadan pasti sesak apabila menjadi tumpuan umat Islam membeli pelbagai juadah berbuka puasa.

Di Muar, Bazar Ramadan di Dewan Jubli Intan merupakan antara lokasi paling popular penduduk untuk mencari pelbagai menu juadah berbuka puasa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat lebih 40 gerai di bazar tersebut yang menjual pelbagai menu termasuk menu istimewa dari Kelantan iaitu nasi kerabu.

Sejak hari pertama umat Islam di negara ini menyambut Ramadan, bazar itu penuh sesak dengan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa.

Walaupun cuaca panas terik, ia tidak menghalang orang ramai terus berpusu-pusu melihat pelbagai jenis juadah yang dijual oleh peniaga.

Bazar Dewan Jubli Intan sememangnya cukup terkenal dalam kalangan penduduk di sini seperti tidak sempurna jika tidak menjejakkan kaki di sini.

Pelbagai jenis lauk-pauk masakan tradisional, kuih muih, minuman panas dan sejuk dijual sepanjang tapak bazar disediakan setiap tahun.

Antara juadah menarik yang dijual adalah nasi ayam, nasi beriani, ayam percik, nasi lemak ayam berempah, murtabak, rojak, kuih-muih dan ikan bakar.

Lebih menariknya, bazar tersebut turut menjadi tumpuan orang bukan Islam yang datang untuk mengambil kesempatan membeli pelbagai juadah kegemaran mereka.

Pengunjung, Mohd Azman Suib, 45, berkata, sebaik pulang dari tempat kerja dia akan bergegas ke bazar tersebut kerana terdapat pelbagai jenis juadah yang menarik dan unik yang jarang ditemui pada hari biasa.

Menurutnya, tambahan pula bazar berkenaan juga terletak berhampiran dengan tempat kerjanya dah lebih memudahkannya untuk mencari pilihan makanan dengan cepat dan mudah.

“Setiap kali berkunjung ke bazar itu, saya tidak ketinggalan untuk membeli air katira yang dianggap sebagai minuman wajib sesi keluarga ketika berbuka puasa.

“Anak-anak saya pula sangat menggemari juadah Ayam Madu Serawak di sini yang dianggap begitu istimewa berbanding ayam madu yang lain,” katanya.

Sinar Harian
5 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment