Thursday, August 11, 2011

Minta keluarga tuntut mayat

MUAR – Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) mencari ahli keluarga atau waris kepada seorang lelaki untuk menuntut mayatnya bagi proses pengebumian.

Chan Teong Aun, 51, dilaporkan meninggal dunia pada 2 Ogos lalu, tetapi sehingga kini tiada seorang waris tampil menuntut mayat di HPSF.

Jurucakap HPSF berkata, Teong Aun dimasukkan ke hospital pada Julai lalu kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.

Bagaimanapun, keadaan Teong Aun semakin tenat dan disahkan meninggal dunia di HPSF pada 2 Ogos lalu kira-kira jam 3.55 petang akibat jangkitan bakteria pulmonary.

“Alamat terakhir Teong Aun berdasarkan kad pengenalan diri ialah di No 314-A, Jalan Perak Off, Jalan Chemor, 11600 Georgetown, Pulau Pinang.

“Oleh kerana tiada waris yang tampil membuat tuntutan mendorong pihak hospital menyimpan mayat di bilik mayat hospital sejak lapan hari lalu,” katanya kepada :Sinar Harian.

Beliau berkata, pihak hospital tidak dapat mengenal pasti individu yang menghantar mangsa ke sini untuk mendapatkan rawatan.

“Sebaik mangsa meninggal dunia pihak hospital ada cuba menghubungi keluarga mangsa, namun menemui jalan buntu.

“Sebolehnya kami mahu keluarga mangsa ataupun kenalan tampil menuntut mayat supaya dapat dikebumikan mengikut adat agama yang dianuti,” katanya.

Menurutnya, sekiranya dalam tempoh lima hari akan datang masih tiada waris yang menuntut, maka pihak hospital bertanggungjawab untuk melaksanakan pengebumian tersebut.

Oleh yang demikian, pihak hospital berharap agar waris mangsa segera tampil menuntut mayat di HPSF atau hubungi talian 06-952 1901.

Sinar Harian
11 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment