Sunday, August 28, 2011

Murid mengadu sakit perut

MUAR – Hampir 120 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chin Kwang Wahyu, Parit Jawa di sini, mengadu sakit perut dipercayai selepas minum susu yang dibekalkan di sekolah berkenaan.

Murid-murid tahun satu hingga enam menerima rawatan segera daripada pasukan kesihatan dari Klinik Kesihatan Parit Jawa yang bergegas ke sekolah itu sebaik sahaja menerima laporan.

Manakala, sebahagiannya dihantar ke Klinik Parit Jawa sebaik sahaja mengalami simptom keracunan makanan, semalam.

Guru Besar sekolah berkenaan, Chong Guat Yen berkata, sekolah itu terpaksa ditutup awal bagi membolehkan ibu bapa mengambil anak mereka yang tidak menunjukkan simptom itu di rumah.

Menurutnya, insiden berkenaan mula berlaku pada petang Khamis apabila kira-kira 16 murid mengadu sakit perut dan terpaksa masuk ke tandas berulang kali.

“Kami fikir keadaan ini tidak serius tetapi pada hari ini (semalam), pada kira-kira jam 7 pagi, seramai 113 murid lain pula menunjukkan simptom gejala ini dan kami segera menghubungi Pejabat Kesihatan Muar.

“Ahli jawatankuasa sekolah mengambil langkah berwaspada dan mengambil keputusan untuk menutup segera sekolah ini kerana bimbang wabak ini merebak kepada murid-murid lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Guet Yen berkata, pegawai kesihatan juga memutuskan untuk menempatkan sebuah ambulan di sekolah itu bagi memudahkan memberikan rawatan segera kepada mereka yang sakit.

“Kira-kira 70 murid-murid telah dirawat di sekolah, manakala 30 yang lain dikejarkan ke Klinik Kesihatan Parit Jawa untuk rawatan lanjut.

“Pasukan kesihatan telah mengambil beberapa sampel susu untuk pemeriksaan bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada susu ataupun sebaliknya dan Pejabat Kesihatan Muar akan menyiasat insiden ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Si Boon Chong berkata, anak perempuannya, Si Boon Hui, tahun lima mengadu sakit perut sebaik tiba di sekolah, pagi tadi.

“Boon Hui adalah anak yang kuat tetapi kerana disebabkan cirit-birit dan terlalu kerap masuk tandas, dia telah menjadi lemah,” katanya.

Sinar Harian
27 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment