Nordin Osman (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas di Muar, semalam.
MUAR 6 Sept. - Taktik sekumpulan penyeludup menyembunyikan 3,072 kotak mercun dan bunga api bernilai RM40,000 di sebuah pondok dalam ladang buah-buahan di Jalan Sepang, Jorak di sini, terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Muar, semalam.
Pegawai Pemerintah PGM wilayah berkenaan, Asisten Supritendan Nordin Osman berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 4 petang selepas pihaknya membuat intipan di lokasi tersebut selama tiga hari.
Katanya, siasatan mendapati barangan tersebut yang dibalut rapi dengan plastik dipercayai untuk kegunaan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi dan pondok itu dijadikan lokasi simpanan sementara
"Operasi diketuai Inspektor Mohd. Naser Marzuke bersama tiga anggota Unit Serbuan PGM Muar. Ketika serbuan, pondok itu tidak berpenghuni.
"Kesemua mercun dan bunga api itu dipercayai dibawa masuk secara haram dan tanpa cukai Kastam," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Pihaknya kini menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik ladang berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957.
Utusan
7 Sep 2011
Pondok transit mercun
MUAR – Sebuah pondok di sebuah ladang buah-buahan di Jalan Sepang, Jorak, Bukit Pasir, di sini diserbu Unit Risikan Marin (URM) dari Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua Muar kerana dipercayai menjadi markas untuk menyimpan mercun dan bunga api, kelmarin.
Serbuan hasil daripada maklumat risikan URM selama tiga hari itu berjaya menemui 3,072 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dengan anggaran harga RM40,000 tidak termasuk cukai.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Wilayah 2, Muar, Asisten Superintendan Nordin Osman berkata, mercun dan bunga api itu dipercayai untuk kegunaan pada musim perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
Menurutnya, kesemua barangan rampasan dijumpai dalam keadaan baik yang mana kesemua kotak mercun dan bunga api dibungkus dengan plastik.
“Ia bertujuan untuk memastikan barangan rampasan tidak rosak dan boleh digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama.
“Operasi ini diketuai oleh Pegawai Perisik dan Operasi Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua Muar, Inspektor Mohd Naser Marzuke bersama tiga anggota Unit Serbuan PGM Muar,” katanya dalam sidang media di Markas Operasi PGM Wilayah Dua Muar di sini, semalam.
Beliau berkata, tiada penghuni ketika serbuan di pondok yang tidak bernombor itu.
“Anggota Unit Serbuan PGM terpaksa mengambil masa yang agak panjang untuk menunggu bagi mengenal pasti pemilik barangan tersebut tetapi tiada sesiapa pun yang hadir di pondok berkenaan yang akhirnya anggota Unit Serbuan memecah pintu pondok kerana dikunci dari luar,” katanya.
Nordin berkata, pondok itu hanya dijadikan sebagai tempat penyimpanan sementara mercun dan bunga api kerana tiada kesan orang tinggal di pondok berkenaan.
Katanya, ia juga menjadi transit sebelum bahan letupan tersebut diagihkan kepada para peniaga di sekitar daerah Muar.
“Kesemua barangan rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PGM Wilayah Dua untuk tujuan dokumentasi.
“Siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengenal pasti sama ada pemilik ladang ini terlibat ataupun tidak,” katanya.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957.
Sinar Harian
7 Sep 2011
0 comments:
Post a Comment