Thursday, September 8, 2011

Bantah pembinaan pencawang

MUAR – Kira-kira 200 penduduk di Lorong Hj Mohamad Amin, Bakri di sini berhadapan dengan risiko masalah kesihatan selepas pencawang elektrik dibina berhampiran kediaman mereka.

Penduduk mendakwa pencawang tersebut dibina sejak 1999 meskipun telah mendapat tentangan daripada penduduk tetapi hanya sia-sia.

Salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Amalina, 25, berkata, kewujudan menara pencawang elektrik yang terletak kurang 30 meter dari rumahnya dikhuatiri boleh mengundang bahaya terhadap kesihatan dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, isu itu sudah dibangkitkan penduduk termasuk bagaimana pencawang elektrik bervoltan tinggi itu boleh diluluskan dan dibina berhampiran kawasan perumahan.

“Perkara utama yang dibimbangkan penduduk mengenai risiko pancaran gelombang dari pencawang yang boleh ternyata boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

“Selain risiko letupan yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk sekitar, pencawang yang dibina kira-kira 20 meter dari kawasan kediaman penduduk dikhuatiri akan memberi kesan radiasi kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, katanya, sejak kewujudan pencawang itu, kehidupannya dan keluarga sudah tidak tenteram kerana bimbang akan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kami juga bimbang dengan tahap kesihatan penduduk di sini untuk tempoh masa yang panjang.

“Saya sangat sedih kerana lokasi kediaman kami menjadi tempat pembinaan pencawang sedangkan kawasan ini sudah diduduki oleh nenek lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Sejak daripada itu juga, pemandangan di hadapan rumahnya menjadi tidak menarik kerana dihiasi dengan pencawang elektrik.

Justeru, pihak berkenaan perlu memandang berat masalah tersebut dan mengambil langkah sewajarnya supaya risiko tersebut dapat dielakkan.

Sinar Harian
8 Sep 2011

0 comments:

Post a Comment