Friday, September 9, 2011

Mercu tanda replika tarian singa bakal dibina di Muar

MUAR 8 Sept. - Sebuah mercu tanda baru berbentuk replika tarian singa bakal dibina di bandar ini bagi mengiktiraf keunggulan pasukan tarian singa dari daerah ini yang muncul juara di peringkat dunia sebanyak beberapa kali.

Pembinaan replika bernilai RM120,000 di tapak berhampiran Pusat Penjaja Bentayan itu dijayakan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Muar dan diharap dapat merancakkan lagi kegiatan pelancongan di daerah ini.

Majlis pecah tanah bagi pembinaan replika tersebut disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Chris Lee Ching Yong serta Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Muar, Datuk Ng Kok Hwa.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Kok Hwa berkata, pembinaan replika singa itu merupakan pengiktirafan kepada keunikan dalam kepelbagaian budaya di negeri ini.

"Replika tarian singa ini dibina kerana Muar adalah daerah yang melahirkan pasukan tarian singa yang sering menjadi juara di peringkat antarabangsa dan menewaskan pasukan dari China, Hong Kong, Singapura dan negara lain.

"Kami berharap replika tarian singa di tapak ini akan menjadi tarikan pelancongan yang baru di daerah Muar dan mempromosikan lagi kebudayaan masyarakat Tionghua," katanya.

Jelas beliau, pembinaan replika setinggi tiga meter itu akan dilakukan oleh tukang batu yang didatangkan dari negara China dan ia dijangka siap Disember ini.

Utusan
9 Sep 2011

0 comments:

Post a Comment