ANUAR Jamian dan Norhaizan Kassim melihat rumah mereka yang musnah terbakar di Parit Kachau, Seri Menanti, Muar, semalam.
MUAR 27 Sept. – Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Parit Kachau, Seri Menanti di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.50 malam itu, api yang dipercayai berpunca daripada litar pintas bermula di bahagian dapur sebelum merebak ke seluruh rumah.
Menurut mangsa, Anuar Jamian, 37, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur dan dia yang menyedari kebakaran apabila terhidu asap cuba memadamkan kebakaran namun gagal.
“Saya kemudian segera mengejutkan isteri, Norhaizan Kassim, 37, dan enam anak berusia dua hingga 15 tahun serta membawa mereka ke tempat selamat kerana kebakaran itu merebak dengan cepat.
“Seluruh rumah saya dan dua buah motosikal musnah dalam kebakaran ini dan saya cuma sempat selamatkan kereta dan dua buah motosikal sahaja,” katanya sambil memberitahu hujan renyai berlaku semasa kebakaran itu.
Walaupun kehilangan harta benda yang banyak, namun dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat dalam kebakaran itu.
Dia yang bekerja sebagai penjual kuih berkata, pihak bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian dengan dua jentera serta berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut kira-kira pukul 11 malam.
Utusan
28 Sep 2011
0 comments:
Post a Comment