Thursday, September 29, 2011

Tragedi ragut nyawa dua beranak

BEGINILAH keadaan sebuah van persiaran selepas terlibat dalam kemalangan yang meragut tiga nyawa di Parit Buntar, Perak semalam.

PARIT BUNTAR – Kegembiraan sebuah keluarga dari Muar, Johor untuk menghantar anak bongsu mereka mendaftarkan diri di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas van sewa yang dinaiki terlibat dalam kemalangan semalam.

Kejadian pukul 5.40 pagi di Kilometer 186.6, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan susur keluar Bukit Merah itu mengakibatkan Tukijah Isa, 59, dan Nurul Haniza Mohd. Jamil, 34, maut di tempat kejadian. Turut maut ialah pemandu van persiaran itu, Chua Wee Chor, 33.

Sebelum kejadian, mereka bersama lapan lagi ahli keluarga bertolak dari Muar pada pukul 10 malam untuk menghantar Nur Shahila Mohd. Jamil, 19, mendaftar masuk sebagai pelajar baharu kursus Ijazah Sarjana Muda Perbankan di UUM. Mereka dijangka tiba pada pukul 8 pagi.

Bapa, abang dan anak saudara Nur Shahila, Mohd. Jamil Anuar, 68; Mohd. Nazir, 29, dan Aliya Madiha Abdullah yang berusia satu tahun cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Taiping.

Seorang lagi abangnya, Mohd. Fairuz, 27, serta dua abang iparnya, Mustafa Kamal Mohd. Khamis, 38, dan Khairul Khafiza Isnin, 29, serta kakak iparnya, Liayana Mat, 31, cedera ringan.

Kosmo
8 Sep 2011


Emak merintih sebelum maut

KERIAN: “Tolong tarik, , mak sakit sangat ni,” rintih Tukijah Esa, 59, beberapa minit sebelum dia menghembuskan nafas terakhir selepas van dinaiki bersama 10 ahli keluarganya terpelanting ke dalam longkang di Kilometer 186.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Bukit Merah, di sini, awal pagi semalam.

Lebih menyayat hati apabila kemalangan kira-kira jam 5.40 pagi itu turut mengorbankan anak perempuannya, Norruhanizah Mohd Jamil, 34, dan pemandu van persiaran berkenaan, Chua Wee Chaur, 33.

Nurshahila Mohd Jamil, 19, yang juga seorang mangsa menjadi orang paling sedih kerana nahas berlaku ketika ahli keluarganya dalam perjalanan menghantarnya mendaftar sebagai pelajar baru jurusan perbankan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah.

Menceritakan detik akhir sebelum pemergian ibunya, Nurshahila berkata ibunya sempat meminta tolong mengeluarkannya yang tersepit di tempat duduk.

“Saya cukup sedih kerana masih terngiang-ngiang suara emak merintih kesakitan dan meminta menariknya keluar. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana keadaan ketika itu kelam-kabut.

myMetro
8 Sep 2011

0 comments:

Post a Comment