REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Saturday, December 24, 2011

Remaja SPM terbunuh, motosikal rempuh lori

MUAR - Seorang remaja yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah lori di Km 10, Jalan Muar-Pagoh, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Nasir Ramli berkata Hafiz Idris, 18, dari Parit Kadir, Bukit Pasir di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Kemalangan berlaku pada pukul 3.30 petang ketika Hafiz yang dalam perjalanan dari arah Muar ke Pekan Bukit Pasir, melanggar belakang sebuah lori seberat satu tan di laluan sama," katanya ketika dihubungi, di sini.

Sementara itu, Nasir berkata dalam kemalangan berasingan, seorang kelindan lori terbunuh apabila lori yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Pekan Bukit Pasir, hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 10.20 pagi itu, lori yang dinaiki Abdul Raof Abdul Rashid, 38, dari arah Pekan Bukit Pasir menghala ke Pagoh dikatakan dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta, sebelum dirempuh sebuah treler dari arah bertentangan.

Katanya Abdul Raof yang tersepit di tempat duduk sebelah pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua rakannya yang cedera dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini, untuk rawatan. - Bernama

24 Dis 2011

Thursday, December 22, 2011

Sub kontraktor rugi lebih RM350,000

MUAR - Seorang sub kontraktor berputih mata dan menanggung kerugian lebih RM350,000 apabila dua kereta jenis Volkswagen Scirocco, Toyota Hilux dan barangan berharga serta wang tunai RM1,000 yang lain dilarikan tiga perompak dalam kejadian pecah masuk rumah di Taman Sri Permai, Bukit Pasir di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7.45 malam, mangsa Kong Foon Ming, 25, juga terpaksa berdepan dengan detik mencemaskan hampir 10 minit apabila tiga perompak bertindak agresif dengan mengacukan parang dan pistol ke kepalanya.

Perompak terbabit turut mengugutnya supaya tidak melawan dan mematuhi arahan yang diberikan jika tidak mahu diapa-apakan.

Ketika kejadian, Foon Ming bersendirian berehat sambil menonton televisyen di dalam bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka pekerjanya yang mengetuk pintu biliknya dan tanpa ragu-ragu dia segera membuka pintu.

“Belum sempat bertanya, tiga perompak bersenjatakan pistol dan parang meluru ke arah saya.

“Kerana bimbang dicederakan, saya hanya menuruti arahan mereka termasuk menunjukkan tempat menyimpan kunci kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Foon MIng berkata, dia pelik bagaimana penjenayah terbabit boleh memasuki rumahnya kerana sebelum kejadian tiga pekerjanya berada di ruang tamu dan lazimnya mereka akan kunci pintu sebaik ke-luar rumah untuk makan malam di sebuah restoran berhampiran.

“Saya tidak mengenali suspek dan seorang daripada mereka menutup muka dengan sapu tangan dan disyaki warga tempatan.

“Sebaik sahaja perompak melarikan diri, saya meminta pertolongan daripada jiran sebelah yang kemudiannya membantu menghubungi polis,” katanya.

Foon Ming yang masih trauma dengan insiden itu, kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Katanya, dia turut dimaklumkan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Tol Pagoh, mendapati tiga kenderaan terlibat termasuk kereta perompak keluar menghala ke selatan pada jam 8.09 malam.

Sinar Harian cuba mendapatkan kenyataan daripada Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, tetapi gagal.

Sinar Harian
22 Dis 2011

Sunday, December 18, 2011

Otak hancur digilis lori

MUAR: Seorang penunggang motosikal lelaki maut dalam keadaan mengerikan dengan sebahagian otak bersepah selepas digilis sebuah lori tiga tan di Jalan Simpang Jeram, Bakri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 malam, Ismail Mokhtar, 46, berasal daripada Parit Keroma, menunggang berseorangan dari Bukit Pasir ke Jalan Haji Kosai.

Setibanya di persimpangan Jeram, motosikal ditunggangnya dipercayai bergesel dengan sebuah skuter yang keluar dari simpang berkenaan, menyebabkan Ismail hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Pada masa sama, lori terbabit yang sarat dengan muatan kelapa sawit kebetulan melalui simpang berkenaan dan pemandunya tidak sempat mengelak lantas merempuh serta menggilis mangsa. Ismail meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala serta badan.

Pemandu lori, Azman Baharom, 45, bagaimanapun tidak cedera dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Muar.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat. Kami masih berusaha mengesan pemilik skuter yang terbabit dalam pergeseran sebelum kejadian kerana dia belum membuat laporan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Shikin Salian di talian 06- 9526222 sambungan 5786 bagi membantu siasatan.

myMetro
18 Dis 2011

Thursday, December 8, 2011

Blok asrama pekerja terbakar

MUAR - Sebuah blok asrama yang menempatkan kira-kira 50 pekerja asing musnah dalam kejadian kebakaran sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Parit Muhammad Bakri Batu 5, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima laporan insiden tersebut pada jam 1.20 pagi.

Menurutnya, seramai 13 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian kira 10 minit kemudian.

“Kilang perabot berkenaan mempunyai enam blok dan hanya satu blok yang menjadi asrama kepada 50 pekerja telah musnah terbakar.

“Kilang perabot itu mengandungi banyak papan lapis menyebabkan api mudah marak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Keadaan tersebut memaksa pihak bomba mengambil masa hampir tujuh jam untuk mengawal keseluruhan kebakaran.

Ismail berkata, sehingga jam 6.30 petang semalam, pihak bomba masih lagi memantau lokasi kejadian kerana terdapat bara api yg masih menyala dan dikhuatiri merebak ke blok bangunan yang lain.

Dalam pada itu Ismail berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian masih lagi dalam siasatan.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, kebanyakan pekerja sedang berehat sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.

Sinar Harian
8 Dis 2011

Tuesday, December 6, 2011

Momen indah peserta khatan

MUAR – Seramai 30 peserta berkhatan mengalami momen indah apabila diarak sejauh satu kilometer menggunakan motosikal berkuasa tinggi, sebelum dikhatankan di sebuah klinik di bandar ini.

Kesemua peserta dari tiga kampung iaitu Kampung Teluk Kemang, Kampung Jeram Tengah dan Kampung Sungai Terap di sini, terlebih dahulu berkumpul di rumah Ketua Kampung berkenaan, Ali Abd Samad pada jam 10 pagi.

Ali berkata, seorang penduduk, Datuk Mustapha Abd Wahab bermurah hati untuk menaja program tersebut.

Menurutnya, cadangan untuk membawa kesemua peserta khatan berarak menaiki motosikal kuasa tinggi adalah cetusan idea daripada Mustapha.

“Program seperti ini adalah julung kalinya diadakan di kampung ini dan kami sangat terhutang budi dengan beliau.

“Selain menanggung pembayaran, Mustapha turut mengorbankan seekor lembu untuk majlis kenduri ini yang dihidangkan dengan nasi minyak,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Sementara itu, Mustapha berkata, sebanyak 60 penunggang motosikal kuasa besar dari Kuala Lumpur, Seremban, Nilai, Melaka dan Muar diundang untuk terlibat dalam majlis berkenaan.

Katanya, kesemua motosikal yang terlibat merupakan model seperti Honda Gold Wing, Kawasaki Vulcan, Harley Davidson dan Yamaha.

Sebelum ini katanya, peserta berkhatan diarak menggunakan motosikal kuasa rendah dan memilih untuk mencipta kelainan pada kali ini.

Mustapha yang berasal dari Kampung Teluk Kemang tetapi memiliki perniagaan di Kuala Lumpur berkata, program tersebut juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada penduduk kampung.

“Saya bercadang untuk terus menganjurkan majlis yang serupa pada tahun hadapan supaya semua kanak-kanak lelaki merasai pengalaman sedemikian,” katanya.

Sinar Harian
6 Dis 2011

Empat suspek kes bunuh ditahan

MUAR – Pihak polis berjaya memberkas empat individu yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki pada Mac 2009, lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohd Nasir Ramli berkata, usaha polis menjejaki kesemua suspek selama dua tahun berhasil melalui maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, melalui maklumat itu, polis menahan salah seorang suspek pada 25 November lalu.

“Rentetan penangkapan itu, memudahkan pihak polis melancarkan gerakan untuk memberkas suspek lain yang ditangkap di sekitar Muar di antara 25 November hingga 5 Disember lalu.

“Kesemua suspek adalah lelaki berusia di antara 25 hingga 28 tahun, kini ditahan reman selama seminggu mengikut tarikh tangkapan masing-masing,” katanya dalam sidang media, semalam.

Difahamkan, kesemua suspek merupakan kenalan mangsa dan masing-masing tinggal sekampung di Muar.

Mohamad Nasir berkata, suspek bekerja sebagai jurutera, bekerja sendiri, nelayan dan penganggur.

“Pihak polis masih tidak dapat mengenal pasti motif pembunuhan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 Akta Culik 1961,”katanya.

Katanya lagi, dengan penangkapan kesemua suspek, pihak polis menganggap kes tersebut telah selesai.

Mengimbau kejadian pada Mac 2009 itu, seorang bapa menerima panggilan daripada suspek meminta wang tebusan sebanyak RM1 juta.

Tetapi, selepas tawar menawar, suspek bersetuju untuk menerima wang tebusan RM100,000.

Bagaimanapun, pada 20 Mac tahun yang sama, lima remaja menjumpai sebuah tong berbau busuk dalam sebatang parit di lokasi terpencil di Parit Punggor Darat, kira-kira 2.5 kilometer dari jalan utama.

Tong tersebut mengandungi mayat manusia berusia lingkungan 20-an dan hampir keseluruhan mayat itu dilitupi dengan simen.

Sinar Harian
6 Dis 2011



4 rakan sekampung dalang simen mayat

GAMBAR fail penemuan mayat seorang lelaki yang disimen dalam tong ditemui di Kampung Parit Punggur Darat, Muar.

Suspek mengaku culik, bunuh mangsa dua tahun lalu

MUAR: Misteri pembunuhan anak seorang peniaga yang diculik sebelum dibunuh dan mayatnya disimen dalam tong walaupun keluarganya sudah membayar tebusan RM100,000 dua tahun lalu, berakhir awal pagi semalam berikutan penangkapan empat rakan sekampung mangsa, di Parit Jawa.

Suspek berusia antara 24 hingga 28 tahun terdiri daripada jurutera, nelayan, pekebun serta penganggur itu ditahan polis Muar dalam gerakan sejak 25 November lalu hingga awal pagi semalam.

Empat sahabat itu disyaki mendalangi penculikan dan pembunuhan Koh Wei Seang, 21, yang mayatnya ditemui jam 4.15 petang 21 Mac 2009, selepas disumbat dalam tong dan disimen sebelum dicampak dalam parit di Kampung Parit Punggur Darat, Jalan Sri Tanjung, di sini.

Kejayaan polis menjejaki kumpulan penculik dan pembunuh selepas tiga tahun, bermula dengan penahanan seorang daripada suspek untuk membantu siasatan satu kes lain, sebelum mengaku terbabit dalam pembunuhan kejam itu bersama beberapa rakan termasuk seorang yang sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata berikutan penahanan empat lelaki terbabit, pihaknya percaya kes berjaya diselesaikan dan semua suspek dijangka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas siasatan selesai.

Mereka juga menghadapi siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pada 21 Mac 2009, sekumpulan pelajar yang dalam perjalanan memancing terkejut apabila menemui tong mengandungi mayat yang disimen dalam parit di Parit Punggur Darat. Polis terpaksa menggunakan jengkaut bagi mengeluarkan tong yang biasanya digunakan untuk menyimpan bahan kimia itu berikutan kandungan simen mencapai berat kira-kira 300 kilogram.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Muar yang dipanggil ke Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) pula mengambil masa kira-kira sejam memecahkan tong serta simen berkenaan. Mayat mangsa diletakkan dalam keadaan membongkok dengan lututnya dirapatkan ke dada, manakala hidung dan mulutnya dibungkus dengan plastik.

Ujian DNA kemudian mengesahkan identiti lelaki itu sebagai Koh Wei Seang, iaitu anak seorang ahli perniagaan yang diculik lima hari sebelum mayatnya dijumpai.

Berita Harian
7 Dis 2011


Penculik ahli perniagaan didakwa

FONG Siang dibantu oleh seorang anggota polis ketika hadir ke Mahkamah Majistret Muar semalam.

MUAR – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menculik sehingga menyebabkan mangsanya ditemui mati dalam sebuah tong berisi simen di Parit Punggor Darat di sini pada 21 Mac 2009 lalu.

Tertuduh, Teow Fong Siang, 28, didakwa menculik ahli perniagaan Koh Wei Seang, 21, dengan tujuan mendapatkan wang tebusan sebanyak RM100,000 daripada keluarga mangsa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh seorang penganggur didakwa menculik Wei Seang di hadapan sebuah rumah di Taman Melor, Jalan Jabbar, Parit Jawa di sini pada pukul 2.30 pagi 17 Mac 2009 hingga pukul 10 malam 20 Mac 2009.

Fong Siang didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat.

Pertuduhan kes tersebut dibuat di hadapan Majistret Roslinda Razali dan tertuduh yang bertongkat kerana pernah terlibat dalam kemalangan sebelum itu mengangguk faham bagi pertuduhan itu.

Roslinda menetapkan kes itu disebut semula pada 10 Januari 2012.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor R. Balakrishnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kosmo
10 Dis 2011


Pukul kepala tertuduh

MUAR: “Bagi saya tampar dia. Dapat tampar dua kali pun cukuplah. Hati saya sakit bila anak saya mati,” jerit seorang wanita berusia 50-an berulang kali sebelum dia pengsan ketika tertuduh kes bunuh anaknya dibawa keluar dari bangunan Kompleks Mahkamah Muar di sini, semalam.

Sebelum itu, wanita berkenaan dan anak perempuannya berusia 30-an sempat memukul kepala tertuduh, Teow Fong Siang, sebelum perbuatannya dihalang anggota polis.

Mereka ialah anggota keluarga mangsa culik dan bunuh, Koh Wei Seang, 21, yang disumbat di dalam tong dan disimen sebelum dicampak ke dalam parit di Kampung Parit Punggur Darat, Jalan Sri Tanjung, tiga tahun lalu.

Teow, 28, yang berkerja sebagai pekebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan menculik Koh, yang juga anak lelaki seorang ahli perniagaan pada Mac 2009.

Tertuduh yang juga rakan sekampung mangsa didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

myMetro
10 Dis 2011


Sunday, December 4, 2011

Mahu jadi tentera

MUAR: “Saya tidak sangka dipilih pelatih terbaik, ia menguatkan lagi impian untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” kata Rusydi Abu Bakar, 18, pelatih keseluruhan terbaik Kumpulan 3, Siri 8 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Nasuha, Pagoh, di sini, kelmarin.

Rusydi berkata, dia terkejut ketika namanya diumumkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan latihan kali ini dan menganggapnya sebagai pencapaian di luar jangkaan.

Katanya, pelatih lain turut menunjukkan prestasi cemerlang dan dia berasa terharu kerana diberi pengiktirafan itu.

“Tawaran menyertai PLKN sememangnya saya nantikan. Saya gemar aktiviti lasak dan banyak terbabit dalam kegiatan seperti itu ketika di sekolah. Peluang mengikuti latihan ini saya manfaatkan sepenuhnya untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman,” katanya.

Menurut anak kelahiran Batu Berendam, Melaka itu lagi, pengalaman tiga bulan dalam program itu mencetuskan minatnya untuk menyertai ATM.

Katanya, modul latihan dipelajari di kem latihan itu memberi aura baru kepada dirinya untuk lebih berdisiplin serta sayangkan tanah air.

“Saya berazam mengekalkan semua elemen yang diterapkan sepanjang program ini bagi menjadi contoh terbaik kepada masyarakat dan jika berpeluang, mahu menabur bakti dengan menyertai ATM,” katanya.

Sementara itu, Komander Kem Nasuha, Leftenen Kolonel Razali Basri berkata, semua 168 pelatih PLKN berjaya menunjukkan komitmen dan dedikasi cemerlang sepanjang program.

myMetro
4 Dis 2011