Tuesday, December 6, 2011

Momen indah peserta khatan

MUAR – Seramai 30 peserta berkhatan mengalami momen indah apabila diarak sejauh satu kilometer menggunakan motosikal berkuasa tinggi, sebelum dikhatankan di sebuah klinik di bandar ini.

Kesemua peserta dari tiga kampung iaitu Kampung Teluk Kemang, Kampung Jeram Tengah dan Kampung Sungai Terap di sini, terlebih dahulu berkumpul di rumah Ketua Kampung berkenaan, Ali Abd Samad pada jam 10 pagi.

Ali berkata, seorang penduduk, Datuk Mustapha Abd Wahab bermurah hati untuk menaja program tersebut.

Menurutnya, cadangan untuk membawa kesemua peserta khatan berarak menaiki motosikal kuasa tinggi adalah cetusan idea daripada Mustapha.

“Program seperti ini adalah julung kalinya diadakan di kampung ini dan kami sangat terhutang budi dengan beliau.

“Selain menanggung pembayaran, Mustapha turut mengorbankan seekor lembu untuk majlis kenduri ini yang dihidangkan dengan nasi minyak,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Sementara itu, Mustapha berkata, sebanyak 60 penunggang motosikal kuasa besar dari Kuala Lumpur, Seremban, Nilai, Melaka dan Muar diundang untuk terlibat dalam majlis berkenaan.

Katanya, kesemua motosikal yang terlibat merupakan model seperti Honda Gold Wing, Kawasaki Vulcan, Harley Davidson dan Yamaha.

Sebelum ini katanya, peserta berkhatan diarak menggunakan motosikal kuasa rendah dan memilih untuk mencipta kelainan pada kali ini.

Mustapha yang berasal dari Kampung Teluk Kemang tetapi memiliki perniagaan di Kuala Lumpur berkata, program tersebut juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada penduduk kampung.

“Saya bercadang untuk terus menganjurkan majlis yang serupa pada tahun hadapan supaya semua kanak-kanak lelaki merasai pengalaman sedemikian,” katanya.

Sinar Harian
6 Dis 2011

0 comments:

Post a Comment