Thursday, December 22, 2011

Sub kontraktor rugi lebih RM350,000

MUAR - Seorang sub kontraktor berputih mata dan menanggung kerugian lebih RM350,000 apabila dua kereta jenis Volkswagen Scirocco, Toyota Hilux dan barangan berharga serta wang tunai RM1,000 yang lain dilarikan tiga perompak dalam kejadian pecah masuk rumah di Taman Sri Permai, Bukit Pasir di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7.45 malam, mangsa Kong Foon Ming, 25, juga terpaksa berdepan dengan detik mencemaskan hampir 10 minit apabila tiga perompak bertindak agresif dengan mengacukan parang dan pistol ke kepalanya.

Perompak terbabit turut mengugutnya supaya tidak melawan dan mematuhi arahan yang diberikan jika tidak mahu diapa-apakan.

Ketika kejadian, Foon Ming bersendirian berehat sambil menonton televisyen di dalam bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka pekerjanya yang mengetuk pintu biliknya dan tanpa ragu-ragu dia segera membuka pintu.

“Belum sempat bertanya, tiga perompak bersenjatakan pistol dan parang meluru ke arah saya.

“Kerana bimbang dicederakan, saya hanya menuruti arahan mereka termasuk menunjukkan tempat menyimpan kunci kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Foon MIng berkata, dia pelik bagaimana penjenayah terbabit boleh memasuki rumahnya kerana sebelum kejadian tiga pekerjanya berada di ruang tamu dan lazimnya mereka akan kunci pintu sebaik ke-luar rumah untuk makan malam di sebuah restoran berhampiran.

“Saya tidak mengenali suspek dan seorang daripada mereka menutup muka dengan sapu tangan dan disyaki warga tempatan.

“Sebaik sahaja perompak melarikan diri, saya meminta pertolongan daripada jiran sebelah yang kemudiannya membantu menghubungi polis,” katanya.

Foon Ming yang masih trauma dengan insiden itu, kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Katanya, dia turut dimaklumkan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Tol Pagoh, mendapati tiga kenderaan terlibat termasuk kereta perompak keluar menghala ke selatan pada jam 8.09 malam.

Sinar Harian cuba mendapatkan kenyataan daripada Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, tetapi gagal.

Sinar Harian
22 Dis 2011

0 comments:

Post a Comment