Iseh dan suaminya, Ahmad Rosman Adnan terus menanti kepulangan Kikah.
MUAR – Sepasang suami isteri dari Kampung Baru Batu 28, Lenga dekat sini, merayu anak gadisnya, Nurul Safiqikah, 14, yang keluar rumah sejak 5 Jun lalu, agar pulang segera ke pangkuan keluarga.
Iseh Atan, 51, berkata, pada hari kejadian iaitu kira-kira jam 8 pagi, anaknya memaklumkan mahu keluar ke bandar Muar bersama seorang rakan sekelas dengan menaiki bas awam.
Bagaimanapun katanya, sehingga jam 7 malam anaknya masih tidak pulang ke rumah lantas mendorongnya mencari Nurul Safiqikah atau nama manjanya Kikah di rumah rakannya.
“Saya terkejut apabila diberitahu Kikah berjumpa seorang lelaki semasa di Muar.
“Rakan anak saya yang dikenali sebagai Soleha turut memberitahu, Kikah menyuruhnya balik kerana mahu berjumpa teman lelakinya sebelum mengikuti seorang wanita tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di Muar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Iseh berkata, dia juga cuba menghubungi anaknya itu namun tidak berjaya kerana telefon bimbitnya dimatikan.
Berikutan itu, dia dan suami pergi ke bandar Muar untuk mencari Nurul Safiqikah termasuk lokasi dia dikatakan mengikut seorang wanita, namun usaha itu tidak berhasil.
“Tiga hari kemudian, Kikah menghubungi saya mengatakan dia berada dalam keadaan selamat dan tinggal bersama seorang rakan.
“Kikah juga minta supaya menarik balik laporan polis yang sudah dibuat dan minta agar kami tidak mencarinya lagi,” katanya.
Menurut Iseh, dia berasa sangat sedih selepas mendengar permintaan anaknya yang dianggap tidak masuk akal.
Tambahnya, Nurul Safiqikah merupakan anak bongsu yang sangat peramah dan periang, tetapi kira-kira dua minggu sebelum menghilangkan diri, dia berubah menjadi seorang yang mudah marah jika kehendaknya dihalang.
“Saya sangat terkejut dan tidak sangka Kikah akan ambil tindakan drastik seperti ini.
“Saya sudah buntu untuk mencari Kikah yang hingga hari ini masih tidak pulang dan hanya mampu berdoa supaya dia selamat,” katanya.
Katanya, hanya pakaian serta barangan milik Nurul Safiqikah menjadi pengubat rindu setiap kali teringatkan anaknya itu.
Justeru, Iseh meminta kerjasama orang ramai yang mengenali dan mengetahui di mana anaknya berada agar menghubunginya di talian 017-634 4252, 06-977 1205 atau Fitri, 012-993 6899.
Sehingga kini, Iseh sudah membuat dua laporan polis berikutan kehilangan anaknya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Balai Polis Lenga.
Sinar Harian 18 Jun 2012
Gadis lari dari rumah sejak 5 Jun pulang ke pangkuan keluarga
MUAR - Setelah 13 hari menghilangkan diri, akhirnya seorang remaja yang dilaporkan hilang berjaya dijumpai semula dalam keadaan selamat di sebuah rumah di Kampung Kesang Laut, Ledang dekat sini, Isnin lalu.
Nurul Safiqikah atau lebih mesra dengan panggilan Kikah, 14, dari Kampung Baru Batu 28 Lenga, keluar rumah pada 5 Jun lalu untuk pergi ke bandar Muar menaiki bas awam bersama seorang rakan sekelasnya.
Bapa remaja berkenaan, Ahmad Rosman Adnan, 52, ketika dihubungi berkata, anaknya dijumpai selepas berita kehilangannya disiarkan dalam Sinar Harian pada 17 Jun lalu.
Menurutnya, berikutan itu dia menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan melihat seorang gadis mirip Kikah berada di Kampung Kesang Laut.
“Kemudian, saya membuat temu janji dengan orang awam ini untuk menunjukkan rumah di mana Kikah berada.
“Meskipun pada mulanya sedikit ragu, tetapi selepas berbincang bersama isteri, saya nekad berjumpa dengan pemberi maklumat berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Rosman berkata, dia berasa lega apabila mendapati maklumat tersebut tepat dan segera ke rumah berkenaan bersama polis.
“Saya bersyukur kerana Kikah ada di rumah itu dan tinggal bersama keluarga rakan lelakinya,” katanya.
Menurutnya, Kikah memberitahu dia bertindak tinggal di Kesang Laut kerana bimbang dimarahi keluarga kerana pulang lewat selepas keluar ke bandar Muar pada hari kejadian.
Ahmad Rosman berkata, meskipun agak sedih dengan tindakan Kikah, tetapi dia tidak mahu marah, sebaliknya menganggap Kikah masih belum matang.
“Saya tidak mahu memperbesarkan lagi perkara ini dan sangat bersyukur kerana Kikah dijumpai dalam keadaan selamat,” katanya.
Katanya lagi, Kikah turut dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), semalam.
Terdahulu, Sinar Harian, 17 Jun lalu, melaporkan rintihan sepasang suami isteri, Ahmad Rosman Adnan, 52, dan Iseh Atan, 51, dari Kampung Baru Batu 28 Lenga dekat sini, merayu anak gadisnya, Nurul Safiqikah, 14, yang keluar rumah sejak 5 Jun lalu, agar pulang segera ke pangkuan keluarga.
Sinar Harian 21 Jun 2012
0 comments:
Post a Comment