Saturday, June 30, 2012

Tiga dalang kes pecah rumah ditahan



MUAR: Tiga lelaki dipercayai ahli kumpulan pecah rumah ditahan kerana disyaki terbabit mendalangi enam kes menyebabkan kerugian RM500,000.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata mereka ditahan di sekitar bandar ini Jumaat minggu lalu dengan suspek pertama diberkas kira-kira jam 6 pagi, manakala dua lagi rakannya jam 11 malam hari sama.

Katanya, semua suspek berusia lingkungan 20-an dengan seorang daripada mereka yang bekerja sebagai pengimpal, didapati positif dadah.

“Berikutan penahanan tiga suspek ini, kita sedang mengesan lima lagi rakan mereka yang sudah dikenal pasti terbabit dalam kejadian pecah rumah di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD), di sini semalam.

Katanya, pihaknya turut merampas sebuah kereta mewah Mercedes Benz, barang kemas serta dua motosikal daripada keseluruhan 70 barangan berharga yang ditemui bersama suspek dan siasatan awal mendapati mereka mendalangi banyak kes pecah rumah di sekitar Parit Jawa, Bukit Pasir dan bandar ini.

“Polis percaya jika lima lagi suspek ditahan, kita mampu menyelesaikan 28 kes pecah rumah di sekitar daerah ini sejak Januari lalu. Suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Berita Harian 30 Jun 2012

0 comments:

Post a Comment